BREAKING NEWS

Wednesday, 8 March 2017

Video anak Jong Nam: ‘Nama saya Kim Han Sol’






PETALING JAYA: Sebuah klip video muncul baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya anak kepada Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, yang kematiannya di Malaysia bulan lalu mencetuskan krisis diplomatik antara kedua-dua negara.

Channel News Asia (CNA) melaporkan klip video 40 saat itu dimuat naik sebuah kumpulan anti-kerajaan Korea Utara bergelar “Cheollima Civil Defense”.

“Nama saya Kim Han Sol, dari Korea Utara, sebahagian daripada keluarga Kim,” kata lelaki itu.

“Ayah saya terbunuh beberapa hari lalu. Saya kini bersama ibu dan kakak saya,” katanya, sebelum audio dipadamkan.




Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi CNA, berkata beliau tidak ada maklumat mengenai kumpulan anti-kerajaan itu.

CNA bagaimanapun berkata lelaki itu disahkan sebagai Han Sol oleh seorang aktivis anti-kerajaan Korea Utara.

Menurut kumpulan pembangkang itu, ahli keluarga Jong Nam merayu diberi perlindungan. Mereka kemudian dipindahkan kumpulan Cheollima Civil Defense dan kini berada di tempat yang selamat.

Kumpulan pembangkang itu enggan memberikan butiran lokasi ahli keluarga Jong Nam, tetapi mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Belanda, China, Amerika Syarikat “dan satu lagi kerajaan yang tidak dinamakan”.

Sebelum ini, Malaysia menafikan Han Sol tiba untuk menuntut mayat ayahnya, yang mati selepas diserang 2 wanita yang dipercayai merupakan agen upahan regim Pyongyang.

Malaysia masih menahan mayat Jong Nam, dan berkata ia akan hanya diserahkan kepada ahli keluarga.

Sumber: FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.