BREAKING NEWS

Friday, 14 April 2017

11 rakyat Malaysia dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017

11 rakyat Malaysia dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017

OLEH  – www.thevocket.com
Hari ini banyak media melonjakkan nama Neelofa kerana disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017. Buat pengetahuan anda, selain Neelofa terdapat 10 lagi orang Malaysia yang turut berjaya masuk ke senarai itu.
Sebenarnya lebih 1,200 penyertaan dihantar kepada Forbes pada tahun lepas dan akhirnya hanya 300 orang disenaraikan mengikut 10 kategori. Daripada 10 kategori itu hanya 6 kategori sahaja diisi tempat oleh 11 orang Malaysia.

Mereka adalah anak muda yang berusia 30 tahun dan kebawah telah berjaya memberi impak kepada kehidupan masyarakat di Malaysia dan Asia menerusi penggunaan teknologi ke atas bisnes yang dijalankan.

Seni

1. Edmund Ooi, 29 – Pereka Fesyen
GAMBAR: VOGUE.IT
Edmund Ooi dibesarkan dalam keluarga tukang jahit dan ibunya menjadi inspirasi buat dia mengorak langkah lebih jauh dalam industri fesyen.
Bergraduat dalam bidang rekaan fesyen di Kuala Lumpur, Ooi ke Belgium pula untuk belajar di Royal Academy of Fine Art di Antwerp.
Selepas 2 tahun di Antwerp, dia berkolaborasi dengan Mugler di Paris, Perancis. Pada 2014 Ooi melancarkan koleksi pakaian lelaki dan seterusnya dijemput berkolaborasi dengan Vogue Italia dan GQ Italia.
Ooi suka bereksperimen dengan pakaian lelaki gaya klasik dan menyuntik elemen segar dalam pakaian harian lelaki.

Kewangan Dan Modal Teroka

2. Victor Chua, 29 – Timbalan Presiden Gobi Partners
GAMBAR: GOBIVC
Graduan pengajian aktuari dari Macquarie University, Sydney, Australia ini menyertai Gobi pada awal tahun 2015. Sebelum itu Chua menjadi pengurus pelaburan di Malaysia Venture Capital Limited yang dimiliki Kementerian Kewangan Malaysia. Chua juga merupakan ahli Mensa Malaysia.

Industri, Pembuatan Dan Tenaga

3. Chee Hau Goh, 28 – Pengasas Bersama The Lorry
GAMBAR: STARTUPDB
Goh pernah bekerja sebagai pengurus kargo untuk beberapa syarikat penerbangan global sebelum mengasaskan bersama The Lorry yang telah dilancarkan pada September 2014.
Model bisnes The Lorry fokus pada sektor pemindahan/pengangkutan barangan pelanggan menerusi penggunaan aplikasi dan laman sesawang khas.
Operasinya sebagai orang tengah antara pemandu lori dan pelanggan telah menarik minat lebih 1,000 orang pemandu lori. Manakala ia jadi pilihan pelanggan kerana boleh mendapat perkhidmatan dengan cepat dan mudah.
4. Nadhir Ashafiq Zainal Abidin, 29 – Pengasas Bersama The Lorry
GAMBAR: VOCKET
Nama Nadhir Ashafiq tidak asing lagi buat pembaca The Vocket kerana kami pernah mengeluarkan artikel berkenaannya. Nadhir juga pernah menjadi speaker dalam program Vocket Talk ke-3 kami di MaGIC, Cyberjaya pada Oktober 2015.
Anda boleh baca latar belakang dan kisah inspirasi Nadhir dan The Lorry di Vocket.

Media, Pemasaran Dan Pengiklanan

5. Mohd Yazrie Mohd Shuki, 28 – Pengasas YAZ Ventures Sdn Bhd
GAMBAR: AVING
MyFed Asia yang diasaskan oleh graduan Universiti Teknologi MARA, Yazrie Shukri ini menyediakan over-the-top (OTT) streaming services di Malaysia.
Syarikatnya telah melancarkan platform KLIX pada April 2016 dan menandatangani perjanjian dengan Hisense untuk menghasilkan peranti KLIX.
6. Jan Wong, 30 – Pengasas OpenMinds Resources
GAMBAR: THE ENTREPRENEUR CAMPFIRE
Jan mengasaskan OpenMinds Resources sebagai sebuah tech start-up bersama dua orang kawan pada 2009. Tetapi gagal mendapatkan geran atau dana menyebabkan Jan mengalih arah OpenMinds kepada perundingan digital selepas menyedari ia mempunyai permintaan tinggi.
Kini, syarikatnya memperolehi pendapatan jutaan ringgit setelah bekerjasama dengan jenama tempatan dan luar negara. Antara sebab ia menjadi pilihan kerana fokus apa yang betul-betul penting untuk sesebuah bisnes dan membantu melakar peta jalan yang dirasakan terbaik buat sesebuah jenama.
Selain OpenMinds Resources, Jan juga merupakan seorang pensyarah separuh masa di Asia Pacific University College of Technology & Innovation.

Runcit Dan E-dagang

7. Neelofa, 28 – Pengasas NH Prima International Sdn Bhd
GAMBAR: INSTAGRAM NEELOFA
Graduan Sunway College yang memegang ijazah sarjana muda berkembar jurusan Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran ini memakai beberapa topi dalam kehidupannya. Antaranya ialah pelakon, pengacara, duta produk, model dan usahawan.
Dalam senarai Forbes ini, Nor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra dipanggil Neelofadiangkat sebagai usahawan – pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan berasaskan fesyen tudung, pakaian, minyak wangi dan sebagainya.
Selain memasuki pasaran pada waktu yang tepat, sokongan jutaan peminat di akaun Instagram miliknya turut menjadi penyebab pemasaran media sosial untuk bisnesnya berjaya sehingga Neelofa dapat mengembangkan pelbagai jenis produk dan memasarkan Naelofar Hijab di 38 buah negara.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana Neelofa sempat menjalankan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang berbeza dalam kehidupannya, anda boleh mengetahuinya di sini.
8. Sasha Tan, 26 – Pengasas Favful
GAMBAR: FAVFUL
Pengalaman Sasha dalam pemilihan produk kosmetik tanpa maklumat yang lengkap telah menyebabkan dia melalui detik hitam apabila kulitnya menjadi teruk sehingga memerlukan suntikan dan rawatan laser.
Atas dasar kekecewaannya itu dia mahu menyediakan satu platform yang akan memudahkan orang ramai terutama wanita bagi mencari maklumat berkenaan produk kecantikan. Itulah Favful.
Favful ialah sebuah platform produk kecantikan yang membandingkan harga dan memberi penilaian terhadap produk berdasarkan jenis kulit dan memaparkan pandangan pengguna berkenaan produk.
9. Vivy Yusof, 29 – Pengasas Bersama Fashion Valet
GAMBAR: ASIAN ENTREPRENEUR
Tanpa latar belakang e-dagang, Vivy jurusan undang-undang dan suaminya, Fadza jurusan kejuruteraan aeronautika mengasaskan Fashion Valet selepas berasa kecewa dengan kekurangan pilihan online shopping dalam sektor fesyen di Malaysia.
Fashion Valet ialah sebuah laman sesawang yang menempatkan pelbagai pilihan fesyen berjenama dari serantau Asia termasuk produk tempatan dengan permulaan modal RM100,000 (duit simpanan sendiri dan pinjaman) pada 2010.
Selepas memenangi MYEG Make The Pitch musim 2, Fashion Valet berkembang lebih meluas sehingga mendapat dana daripada Elixir Capital di Silicon Valley, California pada tahun lepas.
Kini, ia turut dijual kepada pengguna di Indonesia, Brunei, Australia dan United Kingdom. Selain itu, Vivy turut melancarkan The dUCk Group untuk skaf jenamanya sendiri.

Usahawan Sosial

10. Mohd Lutfi Fadil Lokman, 29 – Pengasas Bersama Hospitals Beyond Boundaries
GAMBAR: YOUTUBE MOHD LUTFI FADIL LOKMAN
Sebelum ini pengasas dan CEO Hospital Beyond Boundaries (HBB), Dr. Mohd Lufti Fadil Lokman popular di media massa dan sosial setelah dipilih sebagai salah seorang penerima United Nation Young Leader di atas usahanya menubuhkan HBB yang berkonsepkan model social enterprise.
Menerusi HBB, Dr. Lutfi dapat menggalakkan peningkatan taraf hidup komuniti sasaran dan memastikan klinik komuniti yang dikendalikan di Kemboja dan Malaysia dapat memberikan akses dan penjagaan kesihatan yang baik buat penduduk setempat.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh ikuti temubual Vocket bersama Dr. Lutfi di sini.
11. Jazz Tan Yee Mei, 27 – Pengasas Bersama YToday Sdn Bhd
GAMBAR: MALAYSIAN FOODIE
Traumatik dengan peristiwa ayahnya dibunuh oleh gengster ketika Jazz berusia 14 tahun membuatkan dia mahu membantu kanak-kanak di jalanan menerusi program pembangunan remaja. Lalu Jazz menubuhkan YouthsToday yang menerima tajaan daripada syarikat-syarikat korporat pada November 2014.
YouthsToday.com ialah platform yang menghubungkan penajaan dan acara untuk remaja dan jenama. Ia bagi membantu merealisasikan acara yang dirancang oleh remaja dan pelajar. Ia juga membantu syarikat korporat menjalankan objektif CSR menerusi dana, sumber dan sokongan mentor buat komuniti dan aktiviti universiti.

Juri

30 juri dipilih oleh Forbes berdasarkan kepakaran dan pencapaian dalam bidang masing-masing bagi membantu memilih 300 orang tokoh ini. Dari Malaysia, Yuna, penyanyi dan penulis lirik menjadi juri untuk kategori Hiburan dan Sukan; dan Jimmy Choo, pereka kasut menjadi juri untuk kategori Seni.
Untuk senarai penuh, anda boleh membacanya di sini: Forbes 30 Under 30 Asia 2017
 
Copyright © 2014 PenangKini.