BREAKING NEWS

Tuesday, 11 April 2017

20 hari Parlimen lulus 13 RUU, Najib puji MP BN

Datuk Seri Najib Razak mengucapkan syabas kepada ahli-ahli Parlimen yang komited bersidang selama 20 hari di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang menyaksikan sebanyak 13 Rang Undang-Undang (RUU) dibentang dan diluluskan.
Perdana menteri berkata, sesi Parlimen itu dilihat amat produktif dan bermakna kerana ahli Parlimen Barisan Nasional mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat.

“Selama 20 hari itu, banyak perkara telah dibahaskan dan sejumlah 13 Rang Undang-Undang telah dibentangkan dan menerima kelulusan daripada Yang Berhormat sekalian.
“Antaranya, ada tiga Rang Undang-Undang yang amat penting dan dekat di hati saya, apa yang saya sifatkan sebagai “Rakyat Didahulukan”,” katanya dalam catatan di blognya www.najibrazak.com hari ini.
Tiga RUU itu ialah Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 itu bermula 6 Mac hingga 6 April lepas.

 
Copyright © 2014 PenangKini.