BREAKING NEWS

Wednesday, 5 April 2017

Apa Motif The Star Online Manipulasi Kenyataan MP Tasek Gelugor?

5 APRIL: Susulan laporan bercanggah dilaporkan oleh The Star Online yang memanipulasikan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahabuddin Yahaya ketika membahaskan RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 di Dewan Rakyat, semalam, pelbagai pihak memberi reaksi balas.

Laporan The Star Online bertajuk: “Okey for rapist to marry victim, even some 9 year old can marry”. Berikut disiarkan pendapat MADI AZMADI yang berada di Parlimen ketika Shahabuddin melontarkan pandangannya berhubung RUU tersebut sekaligus mempersoalkan motif akhbar itu membuat laporan bercanggah daripada apa dinyatakan Ahli Parlimen tersebut.

 “Aku kerja di Parlimen. Aku dengar dgn teliti ucapan YB Shahabuddin Yahaya, MP Tasek Gelugor semasa perbahasan usul untuk memasukkan klausa mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun dalam akta kesalahan seksual kanak-kanak.

YB Shabuddin merupakan mantan hakim mahkamah syariah. Dia jelaskan tadi, melalui enakmen negeri, perkahwinan bawah umur dibenarkan dengan syarat diberi kebenaran mahkamah. Maknanya, mereka hanya boleh berkahwin selepas hakim mahkamah syariah membuat pertimbangan mengikut keadaan yang dirasakan wajar oleh hakim tersebut.

 Dan bila dibaca artikel The Star ini, langsung tidak dinyatakan hujah berkaitan kebenaran dari hakim tersebut. Berkenaan umur 9 tahun yang dinyatakan, YB Shahabuddin memberi gambaran bahawasanya seseorang perempuan itu sampai akil balighnya ada yang seawal usia 9 tahun. Hujahnya sekadar memberi contoh tentang pengalaman sebagai seorang hakim; seseorang yang sudah akil baligh, secara asasnya mereka sudah boleh berkahwin. Tetapi ianya hanya terpakai selepas hakim meneliti perkara itu dengan sewajarnya dengan mengambil kira perkara-perkara lain.

Berkaitan perogol yg berkahwin dengan orang yang dirogol, jelas dalam awal ucapannya, dinyatakan rogol adalah jenayah. Si perogol perlu dihukum mengikut peruntukan undang-undang. Tetapi ada banyak kes, perogol berkahwin untuk tutup kes. Dalam ucapannya juga jelas dikatakan, pihak polis bertindak mengikut laporan polis.

Kalau tiada laporan polis, atau laporan polis ditarik, bermakna tiada kes untuk disiasat sebab orang yang mendakwa dirogol telah menarik balik laporan yang dibuat. Tanggungjawab itu berbalik semula kepada tanggungjawab wali. Harus diingat juga, apa-apa hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur, walaupun hubungan suka sama suka, akan turut dikira sebagai rogol.

 Jadi kepada The Star Online, silalah berintegriti dalam reporting anda. Bila hendak quote seseorang, quote lah sepenuhnya. Jangan menulis sehingga memberi gambaran salah. Itu tidak betul.
 
Copyright © 2014 PenangKini.