BREAKING NEWS

Monday, 10 April 2017

Awas pilih produk mikroplastik



Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dalam memilih produk dandanan diri dan kosmetik berikutan kebanyakannya mengandungi mikroplastik.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, mikroplastik akan memberi ancaman kepada kesihatan serta persekitaran.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, mikroplastik yang dikenali sebagai mikrozarah plastik digunakan dalam produk dandanan diri dan kosmetik sejak 50 tahun lalu.


Katanya, bahan itu digunakan bagi menggantikan penggunaan bahan asli dalam pelbagai rumusan produk.


“Zarah mikroplastik amat kecil iaitu dari satu mikrometer nisbah nano. Ia kebanyakannya digunakan dalam deodoran; syampu; gel mandian; gincu; produk penjagaan bayi, maskara dan krim pencukur.

“Ia digunakan untuk pelbagai tujuan seperti membantu penyerapan bahan aktif, pembentukan filem (lapisan nipis), pengelupasan, mengawal kelikatan serta pelbagai kegunaan lain,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, saiz mikroplastik yang terkandung dalam kosmetik dan produk dandanan diri di pasaran ini sekitar satu hingga 50 mikrometer.

“Mikroplastik dan ramuan plastik lain terkandung dalam pelbagai produk dengan peratusan yang berbeza, iaitu daripada kurang satu kepada melebihi 90 peratus dalam sesetengah keadaan.

“Misalnya gel mandian pengelupasan  (untuk menyingkirkan kulit mati) boleh mengandungi mikroplastik dalam nisbah yang sama dengan pembuatan plastik pembungkusnya,” katanya.

Katanya, produk yang melabelkan mikroplastik sebagai bahan ramuan dihasilkan di luar negara.

“Ini berbeza dengan produk tempatan kerana kebanyakannya tidak melabelkannya dengan sempurna. Ia menyebabkan pengguna sukar untuk mengelak produk yang mengandungi mikroplastik ini. Sementara itu, selain mencemarkan alam sekitar, mikroplastik juga menimbulkan masalah yang rumit dalam persekitaran laut dengan kesan yang sukar difahami.

“Beberapa kajian menunjukkan mikroplastik yang berada di dalam laut membunuh ikan dan menghalang pembesarannya. Sesetengah ikan yang masih kecil lebih menggemari zarah plastik yang halus ini berbanding sumber makanan semula jadi, hingga memudaratkannya sebelum sempat membiak,” katanya.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa supaya melarang pengeluaran, pengimportan, pengedaran dan penjualan produk dandanan diri serta kosmetik yang mengandungi mikroplastik.

Mohamed berkata, beberapa negara termasuk United Kingdom, Sweeden dan Austria akan membuat gesaan bersama untuk mengharamkan produk yang mengandungi mikroplastik. SH

 
Copyright © 2014 PenangKini.