BREAKING NEWS

Saturday, 1 April 2017

Bakar Lamborghini RM16,800 peringati Datuk Ong Teik Kwang


Masyarakat Cina bakal menyambut perayaan Qing Ming – membersihkan kubur nenek moyang atau saudara mara, 4 April ini.

Bagi mengelakkan kesesakan di tanah perkuburan, amalan membersihkan kubur biasanya dilakukan 2 minggu sebelum Qing Ming. Ada yang berbuat demikian dua minggu selepas itu.
Selain lilin, colok, buah-buahan dan kuih-muih, barang buatan kertas merupakan satu kemestian untuk dibakar bagi kegunaan si mati di akhirat.

Seiring kemajuan dunia hari ini, pelbagai replika kertas dihasilkan, daripada wang kertas, pakaian, patung menyerupai pembantu rumah, banglo bertingkat sehinggalah telefon bimbit, komputer dan tablet.

Replika kertas dibakar untuk si mati supaya mereka dapat menikmati “kehidupan lebih baik dan mewah” di akhirat.
Baru-baru ini, seorang pembuat replika berusia 26 tahun di Sungai Petani, Kedah, menerima tempahan mega – sebuah Lamborghini berharga RM16,800.

Lim Zhao Wei, dipetik Sin Chew Daily berkata, beliau mendapatkan bantuan seorang rakannya untuk mereka bentuk kereta mewah itu menggunakan perisian komputer.
Mereka berdua menggunakan masa sebulan untuk menyiapkan Lamborghini berwarna kuning yang berukuran 5 meter (15 kaki) panjang dan diperbuat daripada kertas serta kain sutera itu.
Rupa-rupanya Lamborghini bernombor pendaftaran “DATO 11” itu ditempah keluarga Datuk Ong Teik Kwang yang terbunuh selepas ditembak pengawal peribadinya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1 Disember 2016.
Kemunculan replika mega itu di kubur Ong yang terletak di sebuah tanah perkuburan Cina di Relau, Pulau Pinang, pada pertengahan Mac lalu mencuri tumpuan ramai yang turut membersihkan kubur ketika itu.
Menurut laporan China Press, Lamborghini itu diletakkan di atas timbunan wang kertas yang dilipat berupa jongkong emas purba dengan sepasang “pakaian Datuk” menyerupai baju seragam putih dipakai Ong ketika dianugerahkan darjah kebesaran itu dan sebuah songkok untuk dibakar.
Lain orang lain cara. Bagi yang berkemampuan, begitulah cara mereka memperingati pemergian orang tersayang.
Dari segi seni dan kraf tangan tradisional pula, ia adalah satu cara untuk mendedahkan generasi muda dan memperkenalkan kepada kaum lain tradisi serta adat warisan masyarakat Cina.
 
Copyright © 2014 PenangKini.