BREAKING NEWS

Sunday, 30 April 2017

DAP cabaran utama BN

DAP yang mengetuai Pakatan Harapan adalah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Menurut Ketua Pe­nerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, ini kerana DAP terbukti lebih berkuasa berbanding parti-parti lain dalam Pakatan Harapan yang di­lihat hanya menjadi ‘pak turut’.

“Yang mencabar BN bukan PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau PAN kerana parti-parti itu lahir daripada strategi pecah-belah yang dalangnya adalah satu sahaja parti konsisten sejak awal iaitu DAP.


“Maka generasi kita yang dibina kerajaan BN dengan apa sahaja yang diterima dan dicapai kekal diuji lagi pada pilihan raya umum akan datang. Walaupun nampak seperti banyak parti, tetapi sebenarnya adalah DAP,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Rakyat: Negaraku Ge­nerasiku di Mentakab malam tadi.

Yang hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin; Pre­siden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Datuk T. Murugiah; Timbalan Speaker Gerakan, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof dan Naib Presiden MyPPP, Ong Chee Keong.

Menurut Annuar, DAP terbukti mempunyai kuasa dominan dalam Pakatan Harapan termasuk dari segi jumlah kerusi di Parlimen sehingga menyebabkan yang lain terpaksa patuh kepada parti dikuasai Lim Kit Siang itu.

Beliau mengingatkan rakyat supaya membuat keputusan tepat pada pilihan raya akan datang sebagai cara menghargai peluang ‘hidup bernegara dalam kepelbagaian kaum’ secara harmoni yang dikecapi sekarang.

Katanya, nikmat itu adalah hasil usaha BN yang diterapkan sejak zaman Parti Perikatan dan UMNO pada awal penubuhannya untuk membantu orang Melayu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan, Annuar berkata, pembentukan orde baharu politik akan muncul sekiranya Pas memutuskan hubungan atau tahaluf siyasi dengan PKR yang menganggotai Pakatan Harapan diketuai DAP.

Beliau berkata, Pas sebelum ini telah memutuskan hubungan dengan DAP, PAN dan PPBM yang mana menerusi orde baharu politik itu, parti tersebut akan bergerak ke arah membentuk kuasa ketiga.

“Agak sukar untuk kita meramalkan apa boleh berlaku, tetapi itu merupakan tamparan kepada Pakatan Harapan yang sekali lagi membuktikan bahawa politik berasaskan kebencian bukan formula berkesan untuk memberi pembelaan kepada rakyat.

“Perkara ini juga telah kita lihat berkali-kali dan ini satu lagi manifestasi bahawa formula Pakatan Harapan adalah rapuh dan sesuatu yang harus kita elakkan,” katanya.


UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.