BREAKING NEWS

Saturday, 8 April 2017

Flip Flop Donald Trump





KEPUTUSAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membenarkan serangan peluru berpandu Tomahawk ke atas pangkalan tentera udara Syria, awal pagi semalam jelas menunjukkan pemimpin itu tidak berpendirian tetap selain membuat keputusan terburu-buru tanpa mendapat kelulusan Kongres.

Minggu lalu, pentadbiran Trump dengan angkuh menyelar pihak yang cuba untuk menggulingkan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Jutawan hartanah tersebut menyatakan fokus utama beliau adalah untuk memerangi kumpulan militan Daesh.

Trump berterusan menentang tindakan agresif di Syria selepas menjadi calon Republikan ketika kempen Pilihan Raya Presiden 2016.

Menerusi wawancara beberapa minggu sebelum pemilihan itu, dasar lawannya terhadap Syria termasuk menubuhkan zon larangan terbang kononnya akan membawa kepada perang dunia.

“Kita sepatutnya memberi fokus terhadap Daesh dan bukannya Syria,” kata Trump.
Pada 2013, beliau pernah menjadi pengkritik lantang terhadap pendirian tegas pendahulunya, Barack Obama susulan serangan senjata kimia oleh rejim Bashar ke atas rakyatnya.

“Apa yang kita akan dapat dari serangan ke atas Syria selain lebih banyak hutang dan konflik jangka panjang? Obama memerlukan kelulusan Kongres,” katanya menerusi salah satu tweet yang dimuat naik menerusi akaun Twitternya sebelum ini.
Bagaimanapun, pendirian tersebut bertukar susulan insiden serangan senjata kimia yang meragut lebih 80 nyawa termasuk kira-kira 27 kanak-kanak di bandar dikuasai kumpulan pemberontak, Khan Sheikhoun, wilayah Idlib pada Selasa lalu.
Keputusan untuk menggunakan tindakan ketenteraan terhadap Syria menandakan perubahan luar biasa dan dramatik pemimpin tersebut.

Beliau menyifatkan serangan itu telah melangkaui ‘segala garisan’ dan beliau melihat dirinya sebagai seorang fleksibel yang tidak perlu berpegang kepada pendiriannya jika dunia berubah.

Jelasnya, serangan tanpa perikemanusiaan ke atas puluhan kanak-kanak itu memberi impak yang besar kepadanya.
Sehari sebelum serangan itu dilancarkan, Duta AS ke PBB, Nikki Haley memberi amaran keras ia mungkin akan mengambil tindakan unilateral jika PBB gagal untuk bertindak balas dengan insiden tersebut.

Beberapa jam selepas itu, kira-kira 59 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan dari kapal pemusnah, USS Porter dan USS Ross pada jam 3.40 pagi (waktu tempatan).
“Ia adalah demi kepentingan keselamatan negara selain mengelakkan penggunaan senjata berbahaya itu pada masa depan,” kata Trump.

Putin beri amaran

Presiden Rusia, Vladimir Putin percaya serangan dilancarkan AS ke atas sekutunya, Syria itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan secara serius menjejaskan hubungan diplomatik antara Moscow-Washington.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, pemimpin negara terbabit melihat serangan peluru berpandu Tomahawk itu sebagai ‘pencerobohan terhadap negara berdaulat’ yang telah dijalankan dengan ‘alasan yang dibuat-buat’.

“Serangan itu adalah satu percubaan sinis untuk mengalihkan perhatian dunia terhadap kematian orang awam akibat kempen ketenteraan di Iraq. Tindakan unilateral Washington itu akan mewujudkan halangan serius terhadap usaha untuk menubuhkan pakatan antarabangsa dalam memerangi keganasan,” katanya.

Rusia pernah memberi amaran kepada AS terhadap kesan negatif jika tindakan ketenteraan diambil ke atas Syria.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa, Konstantin Kosachev berkata, serangan itu dilihat bakal menjejaskan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Segala tindakan ketenteraan yang diambil perlu ditanggung oleh pihak yang memulakan. Lihat apa yang berlaku di Iraq dan Libya,” katanya merujuk kepada negara yang dilanda konflik sejak Barat melancarkan campur tangan ketenteraan. – Agensi
 
Copyright © 2014 PenangKini.