BREAKING NEWS

Wednesday, 26 April 2017

Gangguan bekalan air selama 12 jam di 15 kawasan P. Pinang


GEORGE TOWN: Kira-kira 24,000 penduduk di Permatang Damar Laut dan Batu Maung di sini akan mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam bermula 9 pagi pada 29 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata gangguan itu disebabkan penutupan sementara saluran paip 600mm ke kawasan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jalan dilaksanakan.

"Sebanyak lapan pengalihan saluran paip air akan dilaksanakan untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan jalan sedia ada oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Sabtu ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara kawasan terjejas ialah Residence South Bay, Kampung Batu Maung, Lengkok Batu Maung dan kawasan berdekatan, Taman Sunway Mutiara, Taman Bidara, Medan Batu Maung dan kawasan berdekatan.

Turut terjejas ialah Taman Sunway Tunas Jaya, Taman Gembira, Taman Sri Bayan, Taman Sunway Cassia, Taman Desa Wangsa, Kampung Permatang Damar Laut, Perumahan Kluster Permatang Damar Laut, Permatang Tepi Laut dan Kawasan Perindustrian Diamond Valley.

Sehubungan itu, Jaseni menasihatkan pengguna supaya menyimpan air secukupnya untuk kegunaan semasa gangguan itu. -- BERNAMA


 
Copyright © 2014 PenangKini.