BREAKING NEWS

Wednesday, 12 April 2017

Gerakan dakwa pembangunan P. Pinang di kawasan berisiko banjir


PULAU PINANG 12 April – Parti Gerakan negeri mendakwa keseluruhan projek pembangunan di negeri ini dijalankan di kawasan rendah iaitu di bawah paras air laut sekali gus berisiko menyebabkan banjir kilat.

Naib Pengerusinya, Lee Boon Ten berkata, pihak­nya menyifatkan 80 peratus masalah banjir berpunca daripada pembangunan di kawasan berisiko seperti yang pernah diumumkan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow.

Untuk itu tegas beliau, kerajaan negeri digesa berhenti mengeluarkan permit kelulusan projek pemba­ngunan tidak terkawal bagi memastikan kejadian banjir kilat seperti Sabtu lalu tidak berulang sehingga membebankan rakyat.

“Air banjir pada 1 April lalu berwarna coklat se­perti teh tarik yang berpunca daripada projek pemba­ngunan tidak terkawal dan diluluskan kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Ini jelas menunjukkan projek pembangunan di negeri ini diluluskan tanpa pelan alternatif termasuk memastikan sistem perparitan yang baik dan pengurusan sampah sarap untuk jangka masa panjang,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, sebanyak 10 kawasan termasuk Balik Pulau, Relau, Sungai Ara, Paya Terubong, Sungai Nibong, Bayan Baru, Sungai Dua, Bandar Baru Air Itam, Jalan Masjid Negeri, Jalan P. Ramlee dan Jelutong dinaiki air disebabkan hujan lebat lebih satu jam.

Dakwa Boon Ten lagi, kerajaan negeri juga tidak menyediakan kemudahan yang cukup bagi mengatasi banjir di kawasan pembangunan termasuk kapasiti pam air yang tidak dapat menampung jumlah takungan air hujan.

Kata beliau, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada rakyat yang mengalami kerugian harta benda hanya disebabkan kegagalan kerajaan negeri mengatasi masalah banjir yang berlaku sejak hampir 10 tahun lalu.-Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.