BREAKING NEWS

Tuesday, 25 April 2017

Gesa dedah kaedah pengiraan pembaziran air




GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa agar mendedahkan kaedah pengiraan bagi mengklasifikasikan seseorang itu sebagai pengguna yang menggunakan lebihan air.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, selain kaedah pengiraan, pihaknya turut menggesa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendedahkan data pembaziran air di negeri ini.
Menurutnya, cadangan kenaikkan Surcaj Pemuliharaan Air (SPA) sebanyak 100 peratus itu dilihat akan memberi tekanan kepada rakyat khususnya golongan tidak  berkemampuan.


"Dengan cadangan yang akan dibuat ini menunjukkan rakyat Pulau Pinang sekali lagi berdepan dengan kenaikkan kos sara hidup. Ini adalah kenaikan kali kedua sejak SPA diperkenalkan pada 1 November 2010 dengan hanya 24 sen setiap 1,000 liter.


"Sejak daripada itu, SPA terus dinaikkan kepada 48 sen pada 1 September 2013 dan kini mereka berhasrat untuk menaikkannya lagi sehingga RM1," katanya.
Rafizal berkata, selain SPA, kerajaan negeri turut menaikkan tarif air pada 1 April 2015 dengan purata kenaikan sebanyak 16.7 peratus.

"Sejak DAP mengambil alih pemerintahan di Pulau Pinang, ini adalah kesinambungan daripada mereka untuk mengaut untung tambahan dari kesengsaraan rakyat Pulau Pinang. Pemuda Umno Pulau Pinang menentang cadangan kenaikkan ini kerana ia akan membebankan rakyat.

"Kenaikkan ini juga akan memberi kesan secara langsung kepada peningkatan kos sara hidup yang sememangnya cukup tinggi selepas pelbagai caj baru dan kenaikan caj sedia ada yang tidak berperikemanusiaan semenjak DAP memerintah negeri ini," katanya.

Selain itu, Rafizal turut meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendedahkan pihak yang mengesyorkan agar surcaj dinaikkan.

"Ketua Menteri ada menyatakan ada pihak yang meminta agar kerajaan negeri menaikkan surcaj air bagi mengelakkan pembaziran air.
"Sehubungan itu, Pemuda Umno Pulau Pinang mohon agar nama pihak berkenaan didedahkan," katanya.
Menurutnya, keupayaan kerajaan negeri menjawab persoalan ini akan memberi maklumat tambahan kepada rakyat.

"Jika kerajaan negeri menjawab kesemua persoalan ini, sekurang-kurangnya rakyat faham mengapa kenaikan surcaj ini perlu dilaksanakan.
"Sehubungan dengan itu, rakyat Pulau Pinang harus sedar, mereka akan dibebani dengan pelbagai kenaikkan lagi selepas ini jika DAP dan Pakatan Harapan kekal memerintah," katanya.
Rafizal berkata, pihaknya akan meminta wakil rakyat BN membahaskan isu berkenaan secara lisan dalam sidang Dun Mei ini.

Beliau menambah, Pemuda Umno Pulau Pinang turut mendesak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) agar tidak meluluskan cadangan oleh kerajaan negeri itu.

Kelmarin, Kerajaan Pulau Pinang menyatakan hasratnya dalam menaikkan SPA yang kini 48 sen kepada RM1 bagi mengurangkan kadar pembaziran air di negeri ini.
Guan Eng berkata, pihaknya akan meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa menulis surat permohonan berhubung perkara itu kepada SPAN dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, kenaikkan itu dirasakan perlu selepas Pulau Pinang mencatatkan pembaziran air paling tinggi di Malaysia berikutan tarif air domestiknya hanya 32 sen setiap 1,000 liter iaitu paling rendah di negara ini.

SINAR HARIAN


 
Copyright © 2014 PenangKini.