BREAKING NEWS

Thursday, 6 April 2017

Graduan lumpuh terjatuh pasang antena


Bukit Mertajam: Segalanya berpunca daripada terjatuh ketika memasang antena di atas bumbung rumah pelanggan menyebabkan seorang lelaki menanggung azab apabila dia menderita kecederaan tulang belakang atau (Spinal Cord Injury).

Kejadian yang berlaku hampir 13 tahun lalu menyebabkan Mohd Khairol Mohd Sabli, 38, hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda serta terlantar di katil rumahnya kerana kakinya lumpuh dan kini bergelar orang kurang upaya (OKU).

Mohd Khairol yang masih bujang dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, ketika itu dia bekerja sambilan di kedai elektrik berhampiran rumahnya di Taman Impian, Alma, di sini, sementara menunggu majlis konvokesyen.

“Saya sendiri tidak menyangka semuanya berubah sekelip mata dan kejadian itu menyebabkan saya lumpuh dari pinggang hingga kaki, sekali gus kini hanya mampu terlantar dan tidak dapat duduk dalam jangkamasa lama.

“Doktor pakar di Hospital Bukit Mertajam (HBM) mengesahkan peluang untuk sembuh tipis membuatkan arwah bapa, Mohd Sabli Mohd Nor, 67, yang baru meninggal awal Januari lalu membawa saya pulang ke rumah untuk membuat rawatan urutan tradisional,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, urutan tradisional itu menunjukkan kesan baik, namun empat tahun lalu kesihatan arwah bapanya tidak menentu membuatkan rawatan berkenaan tidak lagi diteruskan sehingga kini atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, selain menderita SCI, awal Januari lalu dia menjalani pembedahan di punggung kanan hingga ke pangkal paha kiri dan kanan serta testis akibat terkena jangkitan kuman di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Saya hanya mengharapkan bantuan ibu, Kamariah Hassan, 65, untuk mencuci luka itu setiap hari selepas pembedahan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh membuat sumbangan kepadanya melalui akaun Maybank (157223270411) atas nama Mohd Khairol Mohd Sabli selain menghubunginya di talian 011-32150430.-HM
 
Copyright © 2014 PenangKini.