BREAKING NEWS

Thursday, 13 April 2017

Guan Eng memalukan pentadbiran Kerajaan Negeri dipenuhi rasuah - Datuk Huan Cheng Guan

13 APRIL: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didesak untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri berikutan beberapa skandal rasuah telah menjejaskan integriti pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.
Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan menyifatkan skandal rasuah Guan Eng dan terbaru penahanan seorang Datuk Seri berumur 74 tahun dan anak beliau seorang Datuk berumur 47 tahun adalah ‘turning point’ untuk Ketua Menteri itu meletakkan jawatannya.
“Penahanan ahli perniagaan yang berpengaruh ini dan anak beliau merupakan salah satu lagi kes rasuah di Pulau Pinang selepas kes rasuah Ketua Menteri.
“Lim Guan Eng telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dalam Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165 Akta Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua beranak itu atas kes rasuah ekoran penjualan tanah di Pulau Pinang tanpa mengikut prosedur dan undang – undang.
Dalam nada kecewa, beliau menjelaskan, skandal rasuah ini telah merosakkan imej negeri ini sebagai kerajaan yang berintegriti tinggi.
“Dahulu Pulau Pinang merupakan satu negeri yang amat baik tanpa sebarang kes rasuah serta menjadi kebanggaan warga Pulau Pinang.
“Kini kita dikenali sebagai negeri yang mempunyai masalah rasuah yang tinggi termasuk skandal rasuah Ketua Menteri dan juga ahli- ahli perniagaan yang rapat dengan kerajaan negeri,” katanya lagi.
Menurutnya kepercayaan rakyat Pulau Pinang terhadap pentadbiran Guan Eng semakin terhakis berikutan pelbagai skandal rasuah yang semakin menjadi-jadi ketika ini.
Selain itu menurut Cheng Guan kegagalan Kerajaan Negeri DAP ini menangani rasuah menyebabkan para pelabur tidak lagi memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan mereka ekoran sangsi dengan ketidak telusan polisi dalam dasar pentadbiran kerajaan.
“Oleh kerana terlalu banyak kes rasuah kini berlaku di Pulau Pinang, rakyat sudah mula hilang keyakinan dengan kerajaan negeri.
“Ini juga susulan penjualan tanah – tanah negeri kepada pemaju hartanah dan Taikoon, penutupan kilang- kilang serta syarikat multinasional yang berpindah ke negeri dan negara lain yang mempunyai polisi kewangan yang lebih telus,” katanya lagi.
Justeru itu, Cheng Guan menegaskan inilah masa yang tepat untuk rakyat Pulau Pinang bersatu menyingkirkan Guan Eng sebagai pemegang kuasa kerajaan negeri.
“ADUN Barisan Nasional akan cuba membentangkan satu usul didalam DUN bagi meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk meletakkan jawatan beliau akibat kes rasuah yang sedang dihadapi,” katanya.
Tambahnya lagi, terdapat ura-ura beberapa ADUN DAP yang malu dengan imej bersih parti mereka yang tercalar akibat skandal rasuah Guan Eng ini sehinggakan mereka akan menyokong usul penyingkiran itu nanti.
“Pada pendapat saya, usul tergempar ini akan mendapat sokongan ramai ADUN pembangkang terutamanya ADUN dari PAS dan PKR.
“Malah sudah mula terdapat ura-ura mengatakan bahawa beberapa orang ADUN DAP juga akan menyokong usul yang dibawa kerana mereka malu dengan kes rasuah Lim Guan Eng yang telah mencemar imej “bersih” DAP,” jelasnya yang melahirkan penghargaan terima kasih kepada SPRM yang tegas menangani gejala rasuah di negeri ini
 
Copyright © 2014 PenangKini.