BREAKING NEWS

Friday, 21 April 2017

Hadapi Enam Tuduhan, Adam Rosly Mengaku Tidak Bersalah


Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly yang dihadapkan ke Mahkamah Seksyen hari ini mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan termasuk memberi pernyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Februari lalu.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 10 Feb 2017 antara jam 10 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Beliau yang didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Hukuman maksimum di bawah undang undang ini adalah penjara lima tahun dan denda RM 3 Juta atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin bagi semua kesalahan selain syarat tambahan untuk menyerahkan pasport ke mahkamah dan pembicaraan semula kes pula ditetapkan pada 29 Mei.

Terdahulu, pada 13 April lepas, Adam ditahan oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimiliknya termasuk sebuah banglo mewah bernilai RM1.2juta.

Namun Adam Rosly menegaskan bahawa sumber kewangan untuk membeli banglo tersebut dan kekayaan yang dimiliknya adalah hasil dari perniagaan selain mewarisi kekayaan keluarganya. - Sarawakiana
 
Copyright © 2014 PenangKini.