BREAKING NEWS

Friday, 28 April 2017

Hadi Awang fail saman terhadap Editor Sarawak Report di London


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memfailkan prosiding fitnah terhadap Clare Rewcastle Brown, Pengasas dan Editor Sarawak Report, berpangkalan di London, di Mahkamah Tinggi London dan telah menyerahkan saman itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, saman yang dibuat itu bertujuan mendapatkan ganti rugi dan perintah injunksi berikutan penyiaran satu artikel dalam portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many other Criminal Connections – COMMENT”.

Katanya, artikel itu, termasuk kenyataan yang boleh difahami bahawa Presiden PAS secara peribadi telah menerima atau mendapat atau meluluskan penerimaan sejumlah besar rasuah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pertukaran untuk berkompromi dalam hal pendirian politik PAS.

“Segala tohmahan-tohmahan tersebut adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali. Tohmahan dan dakwaan rasuah seumpama ini jelas merosakkan dan menjejaskan reputasi seseorang seperti Presiden PAS, yang amat komited dengan proses demokrasi sejak sekian lama di mana falsafah politik serta segala tindak tanduk beliau jelas menggambarkan beliau berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Abdul Hadi telah melantik dan mengarahkan peguamnya yang berpengkalan di London, Carter-Ruck untuk menghantar ‘Letter of Complaint’ kepada Brown pada akhir 2016, hanya untuk meminta agar artikel itu dibuang dan menyiarkan pernyataan mohon maaf.

“Namun Miss Rewcastle Brown telah gagal sama sekali untuk memberi respon kepada aduan tersebut, sebaliknya telah membuat beberapa kenyataan awam(public statements) yang merumitkan lagi keadaan.

“Dengan mengambil kira keadaan fitnah yang amat berat ini, Presiden PAS tidak akan membiarkan tohmahan fitnah ini berlalu begitu sahaja tanpa dicabar, dengan demikian tiada pilihan lain melainkan mengambil tindakan Mahkhamah di Mahkhamah Tinggi London, bagi membetulkan keadaan yang dengan teruknya menjejaskan reputasi beliau di Malaysia, dan Singapura, begitu juga di England dan Wales,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.