BREAKING NEWS

Saturday, 29 April 2017

Harakah dakwa PM Kanada peluk Islam


Organ rasmi PAS, Harakah mendakwa Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, yang turut dikenali sebagai “Obama Kanda”, memeluk Islam.
Dalam edisi terbaharu, akhbar itu membawa laporan bertajuk “Ketika ramai di Malaysia sangsi terhadap Islam, PM Kanada peluk Islam”.
“Terbaharu berita yang amat menarik berlaku ke atas orang nombor satu di Kanada.
“Perdana Menteri Justin Trudeau yang memeluk Islam kerana mendapati Islam dan penganutnya di Kanada adalah yang terbaik dalam segenap tindak tanduk, keperibadian, peradaban dan pergaulan mereka yang mesra alam hingga berjaya menjinak dan melunakkan perdana menterinya,” kata penulis kolumnis Harakah, Ustaz Zainudin Hashim.
Dalam tulisannya, Zainudin berkata, perdana menteri itu tidak dipaksa untuk menerima Islam kerana ia bukan cara yang diajar oleh Islam.

Tulisan itu mengaitkan kontroversi di sebalik isu rang undang-undang memperkasakan Mahkamah Syariah yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat bulan lalu.
Kata penulis itu, “tetapi mengapa dan kenapa bukan Islam di Malaysia di mana agama rasminya adalah Islam dan diperintah oleh orang Islam, tidak mahu cuba memahami, mengkaji dan memerhatikan setiap ajarannya, Islam sentiasa diberi gambaran buruk, malah dihina, golongan bukan Islam memprovok Islam dan orang Islam dengan barangan yang tertulis nama Allah dan Muhammad pada kasut dan tatoo pada tubuh sebahagian dari mereka.”
Pada Ogos lalu, portal The Vatican Enquirer juga pernah membawa laporan mengatakan Trudeau, seorang perdana menteri yang dilihat mesra Muslim dan mengambil berat tentang kebajikan mereka termasuk dalam soal pelarian Syria, telah memeluk Islam.
Sejak menjadi perdana menteri pada 2015, Trudeau, 46, dilihat memperjuangkan prinsip keterbukaan, kepelbagaian dan kebebasan beragama di Kanada. Perkara itu turut diulangi oleh beliau susulan serangan ke atas sebuah masjid di Quebec awal tahun ini. Beliau juga pernah mengunjungi masjid semasa bulan Ramadan.
Beliau, anak bekas perdana menteri Pierre Trudeau, membentuk Kabinet yang paling ramai pemimpin pelbagai latar belakang agama dan kaum dalam sejarah Kanada.

 
Copyright © 2014 PenangKini.