BREAKING NEWS

Tuesday, 11 April 2017

Kami tak campur agama kamu, Zahid ingatkan bukan Islam




Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sedih melihat bantahan terhadap usaha memperkasakan mahkamah syariah.
Zahid berkata usaha tersebut hanya kerana ingin memberikan martabat yang tinggi kepada agama.
“Ada usaha oleh ulama dan mereka yang mempunyai kesedaran agama untuk meningkatkan sistem kehakiman dan meningkatkan hukuman dan denda,” katanya dipercayai merujuk usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“Kita amat sedih apabila ada pihak yang mempertikaikan usaha itu,” katanya pada Majlis Konvensyen MRSM Ulul Albab 2017 di sebuah hotel di sini semalam.
Pindaan yang diusulkan Hadi itu bertujuan meningkatkan tahap hukuman Mahkamah Syariah daripada hukuman maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000, dan 6 sebatan kepada hukuman maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Pada hari terakhir sesi Dewan Rakyat Khamis lalu, Hadi dibenarkan membentang usulnya itu mendahului rang undang-undang (RUU) kerajaan yang lain, sehingga menimbulkan bantahan daripada beberapa ahli parlimen pembangkang. Mereka juga berang selepas Speaker menamatkan sesi sejurus selepas memberi laluan kepada pemimpin PAS untuk berucap.

Zahid berkata orang bukan Islam tidak patut mencampuri hal mengenai pemerkasaan syariah yang disifatkannya isu umat Islam.
“Kumpulan yang tidak sama akidah dengan kita tidak harus mengajar macam mana untuk memperkukuhkan undang-undang agama kita.
“Kita tidak berhasrat untuk menyentuh agama lain. Hormati agama saya jika anda mahu saya hormati agama anda,” katanya.
Beliau mengingatkan tentang Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam sebagai agama rasmi, dan berkata semua pihak harus menghormati peruntukan itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.