BREAKING NEWS

Wednesday, 12 April 2017

KDN beri Nanyang surat tunjuk sebab, panggil ketua pengarang

Kementerian Dalam Negeri hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar Nanyang Siang Pau berhubung karikatur yang didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhbar itu diberi tempoh 3 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab, kata Kementerian Dalam Negeri yang dipetik Bernama.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri juga memanggil Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau, Chan Aun Kuang hari ini berhubung karikatur itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini telah dikeluarkan kepada akhbar harian berbahasa Cina itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, penerbit diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.
“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” kata beliau.

Alwi berkata, karikatur tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Ia juga secara tidak langsung seolah-olah telah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana RUU 355 (Pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965) yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam,” katanya.
Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan sebuah karikatur di portal mereka, yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label ‘Hadi Awang’.

Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’.

Terdahulu, PAS Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada akhbar berkenaan berhubung penyiaran kartun itu, antara lain menuntut akhbar itu membuat permohonan secara terbuka di akhbar berkenaan.

Memorandum itu diserahkan oleh Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim kepada Ketua Pengarang akhbar itu pada 11 pagi tadi.

Dalam pada itu, Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung penyiaran kartun oleh Nanyang Siang Pau.

Naib ketuanya, Jasmin Nordin berkata, pihaknya membuat laporan itu berikutan kesal dengan penerbitan dibuat akhbar terbabit yang telah merendahkan martabat orang beragama Islam.
“Kita harap pihak Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula permit akhbar tersebut kerana akhbar ini didapati menggunakan kebebasan secara melulu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Jasmin berkata, biarpun akhbar itu telah mengemukakan permohonan maaf atas penyiaran kartun itu,  perkara itu tidak mudah untuk dilupakan begitu sahaja.

Akhbar itu semalam telah mengemukakan permohonan maaf dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.
 
Copyright © 2014 PenangKini.