BREAKING NEWS

Tuesday, 18 April 2017

Kedudukan Kedutaan Malaysia Di Pyongyang Akan Dibincangkan - Ahmad Zahid


PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kerajaan akan membincangkan berhubung keperluan menghantar duta ke Korea Utara dan status kedutaan Malaysia di Pyongyang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman)," katanya ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan berhasrat menghantar duta ke negara itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa 2017 di sini hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad pulang ke tanah air pada 22 Feb selepas menerima arahan daripada Wisma Putra susulan ketegangan yang timbul antara Malaysia dengan negara itu berikutan pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb.

Jong-nam, 46, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh menggunakan agen saraf VX oleh dua wanita asing semasa menunggu penerbangan ke Macau di klia2.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata (PNG).

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lepas. Korea Utara bertindak balas dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara sebagai PNG.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Bagaimanapun, sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik itu selamat pulang ke tanah air pada 31 Mac lepas.

-- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.