BREAKING NEWS

Friday, 14 April 2017

Kenaikan duti eksais untuk MPV dan SUV mampu milik dibatalkan serta-merta, kekal pada 60% – Kastam


Rungutan orang ramai berkenaan duti eksais untuk MPV dan SUV dengan kapasiti enjin 1,500cc ke bawah yang diwartakan naik 5% menjadikannya 65% nampaknya memberi kesan kepada keputusan kerajaan setelah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan kadar lama 60% akan dikekalkan berkuat kuasa serta merta.

Perkara ini telah disahkan dalam satu laporan berita Bernama yang disiarkan semalam. Menurut laporan tersebut lagi, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy berkata dalam satu kenyataan, pelarasan daripada 65% sebelum ini dibuat selepas mengambil kira permintaan tinggi rakyat terhadap kenderaan import dipasang siap sepenuhnya (CBU).

“Dalam tempoh peralihan sementara bagi membolehkan pindaan itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai 13 April 2017, langkah untuk memberi pengecualian duti eksais yang melebihi 60 peratus akan diberikan bagi kenderaan-kenderaan terlibat.

“Melalui langkah ini, harga kenderaan kepada pembeli perlu dikekalkan dan syarikat pengeluar tidak boleh menaikkan harga atas alasan kenaikan kadar duti eksais yang telah diwartakan melalui Perintah Duti Eksais 2017 pada 31 Mac, 2017,” katanya.

Susulan pengumuman kenaikan kadar duti eksais berkenaan minggu lalu, UMW Toyota telah mengesahkan harga MPV dan SUV berkapasiti 1,500cc keluarannya iaitu Sienta, Avanza dan Rush antara RM3,310 hingga RM6,010. Manakala Proton, Perodua, dan Honda belum mengumumkan apa-apa berkaitan kenaikan harga untuk model Ertiga, Alza dan juga BR-V. - Paultan

 
Copyright © 2014 PenangKini.