BREAKING NEWS

Wednesday, 26 April 2017

Kerajaan Pulau Pinang didesak perjelas projek tambak laut



GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak memperjelaskan Pelan Perancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 yang dikatakan berbeza dengan cadangan projek tambakan laut yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Lee Boon Ten, berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya memberi maklumat yang berbeza kepada rakyat mengenai bentuk dan saiz tapak tambakan laut di Gurney Wharf, Damar Laut dan Middle Bank.

Katanya, kekeliruan yang terdapat pada pelan perancangan struktur terbabit dengan projek yang sedang dijalankan perlu dijelaskan semula kepada rakyat kerana ia membabitkan perubahan landskap di negeri ini.

"Bagaimana pelan cadangan projek itu berbeza dengan rancangan asal sedangkan ia dikeluarkan kerajaan negeri? Adakah kerajaan negeri menyembunyikan sesuatu daripada rakyat? Kerajaan negeri perlu sedar bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengetahui status sebenar projek berskala besar itu.

"Negara lain seperti Singapura, Dubai, India dan Belanda juga ada lakukan tambak laut tetapi mereka memaklumkannya kepada rakyat tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan mengenai projek pembangunan yang dijalankan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Katanya, kerajaan negeri perlu bersikap telus dan bertanggungjawab seperti mana Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang menyediakan dokumen lengkap untuk projek tambak laut, sekali gus boleh dijadikan rujukan pelbagai pihak. "Semasa BN melaksanakan projek tambak laut, semua pihak termasuk rakyat boleh dapatkan dokumen yang lengkap untuk dijadikan rujukan," katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.