BREAKING NEWS

Thursday, 6 April 2017

KERAJAN NEGERI HARUS HENTIKAN PENGELUARAN PERMIT PEMBANGUNAN DI KAWASAN BANJIR


Gerakan Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP supaya menghentikan dengan segera pengeluaran permit pembangunan baharu dan menggantung semua projek pembangunan di kawasan mudah dilanda banjir di negeri ini.
Naib pengerusi Gerakan Pulau Pinang Lee Boon Ten berkata kerajaan negeri juga perlu menyiasat punca kejadian banjir dan menyelesaikan masalah itu sebelum membenarkan sebarang pembangunan dilaksanakan di kawasan terjejas.
"Kita tahu bahawa pembangunan secara tidak terkawal dan tindakan menarah bukit menyebabkan kerap berlaku banjir selepas hujan lebat, terutama di tempat sekitar kawasan berbukit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Lee berkata, apabila banjir, kebanyakan kawasan dipenuhi selut dan ia bukan terjadi dengan sendiri, serta mendakwa bahawa ia berpunca daripada pembangunan pesat yang tidak dikawal.
Sabtu lepas, banjir kilat melanda beberapa kawasan, termasuk Balik Pulau, Relau, Sungai Ara, Paya Terubong, Sungai Nibong, Bayan Baru, Sungai Dua, Bandar Baru Air Itam, Jalan Masjid Negeri di hadapan Masjid Negeri, Jalan P.Ramlee dan Jelutong di sebelah pulau negeri ini.
Lee berkata kerajaan negeri perlu segera berhenti daripada menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kerana DAP telah mengambil alih pentadbiran negeri ini sejak 2008.
"Tolonglah lakukan apa yang anda fikir betul, demi kepentingan orang ramai. Disebabkan banjir, mereka yang tinggal di kawasan mudah dilanda banjir menderita dan kesesakan lalu lintas juga berlaku," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancang Bandar Negeri Jagdeep Singh Deo hari ini menggesa kerajaan persekutuan supaya segera melaksanakan Program Tebatan Banjir Sungai Pinang kerana ia merupakan program di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
"Bagi Pulau Pinang, kami akan terus melaksanakan projek jangka pendek dan sederhana bagi mengatasi isu banjir seperti mendalamkan dan melebarkan sungai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Copyright © 2014 PenangKini.