BREAKING NEWS

Friday, 21 April 2017

Kerugian forex Bank Negara: Anwar dibawa ke Kementerian Kewangan



Pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian akibat aktiviti spekulasi urus niaga pertukaran mata wang asing (forex) dialami Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, hari ini memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan untuk membantu siasatan itu.
Anwar merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika BNM mengalami kerugian berbilion ringgit pada awal 1990-an.

Menurut laporan Malaysiakini, bekas ketua pembangkang itu dibawa dari Penjara Sungai Buloh, di mana dia sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan liwat, ke Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Keluarga Anwar berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenai pendengaran itu hari ini.
Anak sulungnya, Nurul Izzah berkata, keluarganya tidak dibenarkan menemui bapanya.
“Malah, peguam R Sivarasa tidak dibenarkan mewakili bapa saya ketika pendengaran itu,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu dipetik portal berita itu.

Anwar sebelum ini berjanji akan memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas itu, jika perlu.
Pada 15 Februari lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas itu selepas bekas penolong gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa BNM mengalami kerugian AS$10 bilion dalam forex pada awal 1990-an ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pasukan petugas khas itu akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti.

Pada 14 Mac lalu, Pengerusi pasukan petugas khas itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilaporkan berkata, pihaknya menyasar untuk melaporkan hasil siasatan kepada Kabinet dalam tempoh 3 bulan.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.