BREAKING NEWS

Saturday, 15 April 2017

Lawatan Najib Bukti Komitmen Kerajaan Dalam Soal Kebajikan Anggota Tentera


SEREMBAN, 14 April (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pangkalan Udara Sendayan di sini semalam, membuktikan komitmen tinggi kerajaan memastikan kebajikan anggota pasukan pertahanan negara terus diberi keutamaan.

Dalam lawatan selama satu jam setengah itu, Najib meninjau secara dekat pembangunan di sekitar pangkalan udara itu.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Affendi Buang.

Cuaca panas tidak menghalang perdana menteri untuk meninjau kemajuan yang dicapai pangkalan udara itu, dengan pembinaannya kini 80 peratus siap dan dijangka memulakan operasi awal tahun depan.

Hishammuddin dalam sidang media semalam berkata perbincangan dengan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati rata-rata mereka menyifatkan pangkalan udara tersebut sebagai sebuah pangkalan impian.

Katanya, pembinaan Pangkalan Udara Sendayan adalah selari dengan transformasi TUDM yang turut mengambil kira keselesaan dan kebajikan anggota.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukan pada masa ini adalah demi kebajikan anggota pertahanan negara dan beliau sebagai Menteri Pertahanan merasa bangga dengan apa yang telah dirancang kerajaan.

Pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Sejarah, Politik dan Keselamatan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata pembinaan Pangkalan Udara Sendayan akan membolehkan sistem pertahanan udara dipertingkatkan dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

"Dalam menuju ke arah negara maju, bukan sahaja pembangunan yang pesat diperlukan bahkan juga aset-aset serta kemudahan pertahanan negara perlu ditambah nilai selari dengan arus kemajuan.

Pembinaan Pangkalan Udara Sendayan ini juga akan membolehkan limpahan pembangunan sekitar turut berlaku sekali gus merancakkan lagi ekonomi di kawasan itu manakala di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, ia adalah lebih strategik kepada pembangunan yang boleh merangsang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, dalam soal ini, ia jelas membuktikan kebajikan anggota pertahanan negara sentiasa berada dalam radar kerajaan.

Projek membangunkan Pangkalan Udara Sendayan, yang dimulakan pada 2013, dirancang untuk dijadikan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan.

Pangkalan Udara Sendayan yang berkeluasan 303.5 hektar itu juga bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota TUDM dan akan menghimpunkan beberapa pusat latihan TUDM di seluruh negara.

Pangkalan udara itu yang terletak 15 kilometer dari sini, dilengkapi dengan kompleks sukan, padang golf (9 lubang), kelab ekuestrian, kolam renang, pusat Islam dan kompleks kediaman.

Pangkalan Udara Sendayan adalah satu daripada lapan lokasi penyusunan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur selain Pangkalan Udara Subang, Gong Kedak, Ipoh dan Butterworth, Kuantan dan 31 Rejimen Artileri Kajang serta Polis Diraja Malaysia Subang.

Hishammuddin dalam pada itu berkata kejayaan membina Pangkalan Udara Sendayan menjadi satu penanda aras dalam angkatan pertahanan negara, sekali gus mampu meyakinkan dua lagi perkhidmatan iaitu Tentera Darat Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia bahawa kerajaan juga mempunyai rancangan kepada mereka.

"Namun, kami perlu melakukannya secara berperingkat," katanya.

-- BERNAMA

 
Copyright © 2014 PenangKini.