BREAKING NEWS

Wednesday, 19 April 2017

"Lebih banyak kerosakan dan malapetaka akan terus berlaku di Pulau Pinang jika Kerajaan DAP terus diberi kuasa mutlak perintah Pulau Pinang"


NIBONG TEBAL, 19 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman membidas Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng agar tidak perlu menakut-nakutkan rakyat kononnya jika Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan negeri, semua yang telah dia lakukan sejak 2008 akan hilang dan lenyap.

Jelas beliau, kenyataan sebenar adalah lebih banyak kerosakan dan malapetaka akan terus berlaku di Pulau Pinang jika Kerajaan Dap terus diberi kuasa mutlak memerintah Pulau Pinang.

“Jika kita lihat, sejak pentadbiran Dap di negeri ini banyak kemusnahan yang telah berlaku.

“Pesisir pantai Gurney Drive tidak akan kembali seperti asal selepas penambakan dilakukan oleh Kerajaan Dap… Semua renovasi ke atas KOMTAR tidak akan hilang dan lenyap dan KOMTAR tidak akan kembali kepada keadaan asalnya kerana keaslian reka bentuknya sudah dicabul.


“Kawasan bukit-bukau dan alam sekitar yang hijau dirogol, dijarah dan dimusnahkan secara haram atau dengan kebenaran kerajaan negeri tidak akan kembali kepada asalnya… begitu juga dengan kawasan bukit yang dulunya hijau kini menjadi botak bukan semasa kerajaan BN tetapi di bawah pimpinan Lim Guan Eng malah istilah ‘bukit botak” menjadi terkenal sejak Guan Eng jadi Ketua Menteri dan Dap jadi Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.


Tambah Zainal, kejadian banjir kilat juga lebih kerap berlaku dan penduduk di kawasan-kawasan yang dahulunya tidak pernah mengalami banjir kilat, kini terpaksa mengharungi banjir jika berlaku hujan lebat selepas Dap mentadbir.


Malah bilangan kejadian dan kawasan terlibat juga bertambah seiring dengan tempoh masa Dap menjadi Kerajaan Negeri, katanya lagi.


“Kejadian tanah runtuh, jalan runtuh, ‘air terjun segera’ berdekatan kawasan-kawasan kediaman dan perumahan rakyat juga semakin kerap berlaku… Ini adalah antara malapetaka atau ‘disasters’ yang datang bersama Kerajaan Dap sejak 2008.


“Kerajaan BN dan sebelum dari itu Perikatan telah meletakkan asas-asas yang kukuh kepada pembangunan negeri ini dari segi ekonomi, infrastrukur dan juga sosialnya sejak merdeka.

“Pulau Pinang yang ada sebelum Mac 2008 adalah hasil usaha kerajaan negeri BN dan Perikatan terdahulu. Kerajaan Dap Pulau Pinang hanya membuat sedikit penambahbaikan apa yang ada sahaja; seumpama ‘rumah sudah siap dibina oleh BN, Dap hanya tukar langsir dan cat serta perabot dalamannya sahaja,” bidasnya.


Justeru, rakyat Pulau Pinang atau lebih tepat pemilih/pengundi perlu berani untuk mengambil tindakan ‘menyelamatkan’ Pulau Pinang dari kerakusan kuasa Dap bagi mengelakkan malapetaka yang telah dan sedang berlaku dari terus berlaku di masa hadapan. – MediaUMNO

 
Copyright © 2014 PenangKini.