BREAKING NEWS

Friday, 7 April 2017

Letaklah Sepuluh Pemimpin Melayu Pun Penasihat, Kuasa Pemutus Tetap Di Tangan Dap – Dr Najmil

KUALA TERENGGANU, 3 April – Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamad Aris berkata letaklah sepuluh pemimpin Melayu sekali pun sebagai penasihat pakatan harapan hakikatnya kuasa pemutus setiap keputusan tetap berada pada tangan pemimpin Dap.
Justeru beliau menyifatkan pelantikan Tun Dr Mahathir dan Datin Seri Wan Azizah sebagai penasihat kepada pakatan harapan hanyalah sekadar satu umpan untuk meraih undi daripada rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.
Menurutnya lagi parti-parti pembangkang di dalam pakatan rakyat tidak dapat menolak realiti di mana parti yang benar-benar mendominasikan pakatan rakyat sebenarnya ialah Dap berdasarkan kekuatan kerusi yang mereka perolehi dalam PRU yang lalu.
“Ini semua bagi saya sekadar satu wayang pakatan harapan untuk mengumpan terutama pengundi-pengundi Melayu. Pelantikan Tun Mahathir dan juga Datin Seri Wan Azizah sebagai penasihat ini tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa yang tetap berkuasa dan mendominasikan pakatan harapan ialah Dap.
“Dap tahu sentimen pengundi khususnya bangsa Melayu majoritinya negatif terhadap parti itu kerana pendirian mereka berhubung isu-isu kaum dan agama. Sebab itulah mereka lantik Tun Mahathir dan juga Wan Azizah sebagai penasihat, sekaligus sebagai simbol bagi pakatan harapan”, jelasnya kepada UMNO-Online di sini.
Tambah beliau langkah Dap tidak meletakkan penasihat Dap dalam barisan penasihat itu merupakan satu strategi mereka untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif dan andaian.
“Mereka tidak memerlukan jawatan, sebaliknya sudah cukup meletakkan pemimpin-pemimpin tertentu yang boleh mereka bonekakan untuk mencapai agenda mereka, seperti mana yang berlaku di Perak ketika Dap bersetuju mengangkat Nizar sebagai Menteri Besar, ” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu meminta rakyat khususnya bangsa Melayu agar tidak terpengaruh dengan strategi politik pakatan harapan, khususnya Dap yang cuba memancing undi orang Melayu.
“Orang Melayu perlu sedar, dalam pakatan harapan, Dap adalah parti yang mempunyai kerusi tertinggi berbanding parti-parti lain di dalam pakatan harapan. Ini secara tidak langsung, ia membuatkan Dap mempunyai lebih kuasa pemutus berbanding parti-parti lain dari sudut itu.
“Malah, perkara itu juga disedari oleh Tun Mahathir. Jika tidak, masakan Tun Mahathir sanggup tunduk dan hadir dalam mesyuarat agung parti tersebut dan sanggup membuat kenyataan bahawa beliau tersilap sangka terhadap parti tersebut dengan mengatakan Dap itu rasis selama lebih 22 tahun!”, katanya.
Malah tegas beliau lagi Dap ternyata merupakan sebuah parti politik yang opportunis di mana mereka sanggup menerima dan bekerjasama dengan siapa saja termasuk musuh-musuh politik mereka seperti Tun Mahathir yang selama 22 tahun menghentam Dap sebagai rasis dan cauvinis demi untuk kepentingan dan survival untuk menguasai Putrajaya.
“Jadi dalam hal ini, saya berpandangan bahawa Datin Seri Wan Azizah, terutamanya Tun Mahathir telah menjadi alat kepada Dap untuk mempengaruhi sentimen pengundi Melayu untuk memberikan undi mereka kepada pakatan harapan, sekaligus memberikan kuasa kepada Dap untuk menguasai Putrajaya sekiranya mereka menang dalam PRU akan datang,” ujarnya.-MediaUMNO
 
Copyright © 2014 PenangKini.