BREAKING NEWS

Wednesday, 19 April 2017

Malaysia pragmatik tangani krisis dengan Pyongyang, kata timbalan menteri

Sikap pragmatik yang diamalkan Malaysia membolehkan krisis ketegangan hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang baru-baru ini, diselesaikan tanpa menggunakan orang tengah, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, Malaysia memilih melakukan rundingan secara langsung kerana yakin dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan baik.
“Bila berlakunya insiden ini, kita lihat tiada keperluan pihak ke-3, sebaliknya kita boleh berunding secara langsung.

“Tetapi saya nak maklumkan, oleh kerana pragmatisme yang kita gunakan dalam kemelut dengan Korea Utara, banyak negara ASEAN yang membantu.
“Antara negara yang membantu rakyat Malaysia yang ditahan termasuklah kedutaan Indonesia, Pakistan dan Kesatuan Eropah (EU).

“Ini adalah kelebihan bila kita menggunakan pragmatisme dalam hubungan diplomasi, kita mementingkan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri S Nallakarupan yang ingin tahu mengapa Malaysia tidak menggunakan orang tengah dalam rundingan dengan Korea Utara dalam menyelesaikan isu penahanan 9 rakyat negara ini di Pyongyang.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang selepas kes pembunuhan Kim Jong Nam abang sebapa pemimpin utama negara itu, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, sedang menunggu penerbangan ke Macau apabila 2 wanita tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Hasil rundingan antara kedua-dua negara, semua 9 rakyat Malaysia yang ditahan, dapat dibawa pulang manakala mayat Jong Nam bersama 3 rakyat Korea Utara dihantar pulang ke negara itu pada 31 Mac lalu.

Menjawab soalan asal Nallakarupan mengenai rasional kerajaan tidak membatalkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Reezal Merican berkata kerajaan memutuskan meneruskan hubungan yang terjalin sejak 4 dekad lalu.

“Pada waktu ini, kita masih ada hubungan diplomatik dengan Korea Utara, namun tiada cadangan menutup kedutaan atau kita memutuskan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.