BREAKING NEWS

Saturday, 29 April 2017

Melayu P. Pinang dilayan buruk



ALOR SETAR – Layanan buruk yang ditunjukkan oleh DAP dan PKR terhadap orang Melayu dan umat Islam selama dua penggal membentuk kerajaan negeri memerintah Pulau Pinang wajar dijadikan panduan dalam mempertimbangkan usul memutuskan tahaluf siyasi antara Pas dengan PKR.

Malah, menurut Wakil Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Alias, kedua-dua parti itu tidak layak langsung untuk bercakap mengenai soal menyelamatkan Malaysia seperti yang dicanang bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kebelakangan ini.

Beliau yang tampak geram dengan nasib orang Melayu dan umat Islam di negeri tersebut turut membuka satu demi satu pekung yang me­landa negeri itu termasuk sikap Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang didakwanya membisu berhubung nasib 300 nelayan yang hilang punca pendapatan utama akibat kedegilan kerajaan DAP Pulau Pinang menambak laut atas alasan mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Penambakan itu menye­babkan munculnya tiga pulau baharu dan sebahagian daripada nelayan yang terjejas berada dalam kawasan Abdul Malik sendiri. Tetapi Abdul Malik tak berani kata apa-apa seolah-olah lupa bahawa nelayan-nelayan itulah yang mengundinya dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau nak cerita, macam-macam boleh cerita terutamanya kos sara hidup, tanah orang Melayu dan peluang pekerjaan. Surcaj air pula nak dinaikkan dalam masa terdekat dan kenyataan ko­nonnya mesra rakyat se­perti dicanang kerajaan negeri diketuai DAP selama ini hanya pembohongan semata-mata,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda, dekat sini.

Tambah­nya, apabila Pas menyuarakan perkara tersebut demi kepen­tingan rakyat, me­reka dituduh menentang kemajuan dan pembangunan sedangkan hakikat sebenar­nya Pas hanya mahu kerajaan DAP Pulau Pinang tidak menafikan masalah yang timbul dan mengambil langkah menyelesaikannya.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan DAP Pulau Pinang juga didakwa langsung tidak menjaga kepentingan Islam apabila mereka bertindak campur tangan dalam pe­nguatkuasaan fatwa di negeri itu.

“Hal ehwal orang Islam, apa kena mengena dengan kerajaan negeri? Sepatutnya biarlah Majlis Fatwa jadi badan bebas dan apa yang paling dikesalkan, Abdul Malik selaku exco agama yang ada peluang untuk menegur dan membela agamanya sendiri hanya ‘buat remeh’ perkara tersebut,” katanya sambil disambut laungan takbir daripada para perwakilan dan pemerhati sebagai tanda sokongan penuh.

“Atas faktor itulah hampir semua kawasan di Pulau Pinang mengusulkan supaya tahaluf siyasi bersama PKR diputuskan dan kami tidak akan menyesal sedikit pun dengan keputusan itu. Mereka sibuk canang ‘Selamatkan Malaysia’ di sana sini tetapi di Pulau Pinang pula siapa yang hendak selamatkan?” katanya sambil disambut laungan takbir daripada para perwakilan dan pemerhati sebagai tanda sokongan penuh.

UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.