BREAKING NEWS

Sunday, 23 April 2017

Pakar ekonomi tolak dakwaan Guan Eng mengenai inflasi

Terlalu mudah dan berpilih. Begitu seorang pakar ekonomi menggambarkan “logik ekonomi” Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengaitkan inflasi tinggi dengan rasuah dan salah urus.
Semalam, Guan Eng berkata kenaikan kadar inflasi khusus kepada negara yang berdepan krisis sosio-ekonomi disebabkan kerajaan autokratik dengan rasuah yang berakar umbi.
Namun Hoo Ke Ping berkata jika inflasi tinggi petanda rasuah dan salah urus, maka petunjuk inflasi di Pulau Pinang – seperti kenaikan sewa dan harga hartanah – sepatutnya menunjukkan ada rasuah dan salah urus di Pulau Pinang.
Malay Mail Online pada Mac melaporkan sewa rumah kedai warisan di George Town melonjak naik, malah sesetengah penyewa menerima notis kenaikan sewa bulanan sehingga 200%-300%.
“Tetapi, tentunya, kita tahu faktor seperti permintaan dan bekalan, dan kekurangan tanah juga memberi kesan kepada harga hartanah,” kata Ke Ping.
“Sama juga keadaannya bila kita bercakap mengenai kenaikan kadar inflasi. Kita tidak boleh mengabaikan hubungkait antara harga minyak dunia dan kadar inflasi.”
Guan Eng berkata kerajaan persekutuan tidak boleh “terlalu mudah” menganggap kenaikan inflasi kepada kenaikan harga petrol.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata BN memberikan penjelasan yang sama apabila harga minyak jatuh ke paras AS$30 setong dan ringgit di paras RM4-RM4.10 berbanding dolar AS.
Guan Eng berkata harga minyak ketika ini berada di paras AS$50 setong, tetapi ringgit tidak naik malah turun ke paras RM4.45 berbanding dolar AS.
Kee Ping berkata penjelasan yang munasabah untuk ini adalah pedagang mata wang mungkin berasa Malaysia akan melaksanakan kawalan modal sekali lagi – seperti yang berlaku semasa Krisis Kewangan Asia 1997/1998.
“Kita juga perlu mengambil kira faktor luaran. Kemenangan Donald Trump dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat mengejutkan pasaran dan beberapa mata wang terkesan.
“Selepas itu, Bank Negara Malaysia tidak membenarkan perdagangan mata wang tetapi tidak menghalang aliran keluar modal dalam bentuk kiriman wang.
“Jadi ada aliran keluar modal dari Malaysia mengalir secara bebas, walaupun aliran keluar meningkat kerana ‘kesan Trump’.”
Didorong kesan “kesan Trump”, Kee Ping berkata pasaran dunia percaya AS dan dolar AS akan mengatasi prestasi pasaran dunia. Jadi banyak modal akan kembali ke Amerika Syarikat.
Ini bermakna mata wang dan bon serantau, termasuk dari Malaysia, dijual untuk bon dan saham AS, dan ia menjejaskan ekonomi berasaskan komoditi seperti Malaysia.
“Apabila harga petrol berada di paras terendah, ia bukan kerana ‘faktor Trump’.
“Jadi kita tidak boleh terlalu mudah dalam analisis kita.” FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.