BREAKING NEWS

Saturday, 1 April 2017

PAS Tanjung ikut jejak langkah putus hubungan PKR


1 APRIL: Selepas 12 kawasan PAS di Pulau Pinang membuat usul parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR kini PAS Tanjung pula mengikut jejak yang sama.
Yang Dipertuanya, Yaacob Omar, berkata usul itu disokong sebulat suara, selepas melihat PKR gagal menghormati PAS sebagai rakan sekutu pada Mesyuarat Agung Tahunannya yang diadakan malam tadi.
“Keputusan ini juga selari dengan 12 Kawasan PAS di Pulau Pinang yang mahu memutuskan tahaluf dengan PKR.
“Kita tak nampak keperluan untuk bekerjasama dengan PKR pada masa hadapan. Malah,  terbukti PKR gagal memartabatkan Islam di negeri ini apabila dilihat ‘tunduk’ kepada isu campur tangan politik dalam Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, ” katanya.
Minggu lalu, 12 Kawasan PAS di Pulau Pinang mengusulkan supaya parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mesyuarat Agung Tahunannya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Mohd Rashid Hasnon, menyifatkan keputusan PAS Pulau Pinang yang mahu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR sebagai tindakan kurang bijak.
Selain itu, katanya, PKR Pulau Pinang kesal dengan tindakan PAS negeri, selain tidak akan mengendahkan usul berkenaan kerana ia hanya diputuskan di peringkat kepemimpinan negeri.
“Kita (PKR Pulau Pinang) tak mahu ‘respond’ terhadap usul PAS Pulau Pinang, sama ada akan ambil tindakan sama untuk putuskan tahaluf siyasi dengan PAS atau sebaliknya.
“Bagaimanapun, apa yang pasti PAS memang tak dilibatkan dalam pentadbiran kerajaan negeri, selain tempat mereka kini diganti dengan Parti Amanah Negara (PAN),” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.