BREAKING NEWS

Friday, 14 April 2017

Pemilik Restoran Kongsi Makanan Pilihan Sultan Muhammad V

Sultan Muhammad V merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ke-15, sememangnya terkenal dengan peribadinya yang baik serta merendah diri dan tidak terlalu berprotokol yang membuatkan rakyat berasa rapat dengan dirinya.

Boleh dikatakan setiap rakyat yang berpengalaman berurusan dengan baginda pasti akan bercerita perkara yang baik serta menjadi kenangan terindah untuk mereka.

Peribadi yang ditunjukkan baginda ini diakui oleh seorang pengusaha restoran di Kota Bharu, Kelantan apabila baginda datang untuk menjamu selera di restorannya.

Walau bagaimana pun pemilik Restoran Four Seasons, Chan Khek Jun telah berasa terkilan kerana tidak dapat melayani Sultan Muhammad V disebabkan kerana keadaan restorannya yang penuh dengan pelanggan lain sewaktu itu.

“Pada hari itu, restoran ini menerima pelanggan yang terlalu ramai sehingga bilik VVIP turut digunakan.

“Selepas mendapat tahu restoran penuh, baginda terus berlalu dan meminta maaf kepada saya kerana tidak membuat tempahan awal,” kata Chan ketika ditemui Bernama di restorannya.

Menurut Chan lagi, baginda telah menjadi pelanggan restorannya sejak tahun 2000 iaitu sewaktu masih bergelar Tengku Mahkota Kelantan.

Makanan kesukaan baginda

Chan juga menceritakan bahawa Sultan Muhammad V sukakan masakan yang kurang berminyak, masin dan pedas.

Oleh kerana itu ketika memasak, Chan dan tukang masaknya akan menggunakan minyak zaitun dan kurangkan penggunaan garam dan lada dalam masakan untuk baginda.

Baginda juga gemar masakan daripada pelbagai jenis ikan seperti ikan kod, kerapu dan siakap yang dimasak stim kicap.

Antara hidangan lain yang menjadi kegemaran baginda adalah burung unta masak lada hitam, rusa zizzling, udang masak susu segar, mantou, penkek tiram dan sayur bayam telur masin.

Katanya, kebiasaannya baginda akan datang ke restoran tersebut selepas waktu solat Isyak bersama Tengku Bendahara Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra (kini pemangku Raja Kelantan), kerabat serta beberapa rakan baginda.

Baginda juga biasanya akan memakai jubah berwarna putih dan akan bertanya khabar dan bersalaman dengan pelanggan lain di restoran tersebut. TV14
 
Copyright © 2014 PenangKini.