BREAKING NEWS

Saturday, 15 April 2017

pemimpin sayap Ulama PAS tuduh Rafizi bohong

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menjadi individu kedua menafikan kandungan akuan berkanun Rafizi Ramli semalam, selepas penafian bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa.

Khairuddin yang turut disebut namanya oleh naib presiden PKR itu berkata dakwaan yang beliau turut mendapat maklumat daripada seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aliran wang 1MDB ke akaun Nasharudin itu adalah tidak benar.
Beliau mengakui pernah merujuk seorang bekas pegawai SPRM bersama pemimpin PAS lain, tetapi berkata Rafizi tidak menyandarkan dakwaannya kepada dokumen nyata dan hanya “bersumberkan dengar cakap”.

“Bolehkah sumber maklumat yang kabur dan tidak jelas sebegini dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan? Seterusnya disebarkan pula ke seantero dunia yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap seseorang dengan tuduhan yang tidak selayaknya?” soal Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tambahnya, Rafizi perlu “segera bertaubat kepada Allah” kerana merosakkan nama seseorang dengan tuduhan palsu berasaskan bukti kabur.

Semalam, Rafizi menerusi akuan berkanun menamakan bekas timbalan presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa sebagai antara individu yang menerima sejumlah wang berkait 1MDB.
Menurutnya, perkara itu diberitahu kepada beliau secara lisan oleh bekas pegawai SPRM, yang turut mengesahkannya kepada Khairuddin.
Nasharudin hari ini menafikan dakwaan itu, dan mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang.

Khairuddin hari ini berkata bekas pegawai itu sekadar “merasakan” pernah melihat sekeping cek dalam fail seorang peguam secara “seimbas lalu” yang “dirasakan” mempunyai nama seseorang berkait PAS.
“Beliau menyatakan hanya melihat sepintas lalu sahaja. Justeru, kami meminta beliau membuat pengesahan dan mendapatkan kembali fail tersebut. Beliau berjanji untuk mengusahakannya walaupun agak sukar kata beliau kerana fail tersebut bukan lagi berada pada tangan beliau,” kata Khairuddin.

“Sehingga kini segala dokumen yang kami perlukan belum dibekalkan oleh pegawai SPRM berkenaan,” katanya, yang bagaimanapun tidak menamakan pegawai yang dimaksudkan.
Khairuddin juga menolak dakwaan Rafizi yang pemimpin PAS tidak memberi tumpuan terhadap isu skandal 1MDB.

“Rafizi juga sangat kuat berbohong apabila menuduh PAS tidak pernah berbicara tentnag 1MDB.
“Sedang PAS konsistan berbicara tentang isu 1MDB sejak dahulu berasaskan kepada beberapa prinsip antaranya prinsip kerajaan berniaga, perniagaan bermodalkan hutang, hutang dijamin kerajaan melibatkan dana awam dan hutang berasaskan riba.
“Semua prinsip ini adalah asas kepada penolakan PAS terhadap 1MDB bukan hanya fokus kepada kegagalan bisnes 1MDB,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.