BREAKING NEWS

Saturday, 1 April 2017

Pendapatan nelayan kian terjejas




SUNGAI DUA - Kegelisahan nelayan mengenai kekurangan hasil sungai bagaikan tidak berpenghujung apabila sungai yang menjadi punca rezeki mereka semakin tercemar.

Hampir 500 nelayan sungai mendakwa pencemaran berpunca daripada sisa kumbahan najis khinzir yang dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab ke sungai tersebut.

Keadaan ini menjadikan sungai berkenaan kotor dan memberi kesan kepada hidupan sungai seperti ikan lampam, tilapia dan udang.

Nelayan, Rosmi Chik, 48, berkata, keadaan menjadi sangat sukar buat nelayan apabila sungai yang menjadi punca rezeki selama ini tercemar.

“Semua ini berpunca daripada pencemaran sisa kumbahan khinzir, mereka tak tentu lepaskan sisa kumbahan dalam sungai.

“Selalunya malam, bila lepas, udang jadi macam mabuk, jadi dia pergi ke tepi-tepi sungai, masa ini sajalah yang dapat kami tangkap, kemudian beberapa hari kemudian, sungai terjejas, bila kotor, memang hidupan sungai yang lain tak boleh nak hidup,” katanya.

Nelayan mendakwa, penternak melepaskan sisa kumbahan khinzir terus ke dalam sungai jadi ia mengalir dalam Sungai Kreh seterusnya mengalir ke sungai berhampiran.
Perkara itu mengakibatkan hasil tangkapan nelayan terjejas dan merugikan nelayan yang selama ini menjadikan sungai sebagai punca pendapatan mereka.

Nelayan berdepan masalah kulit

Nelayan, Nor Azam Ahmad, 41, berkata, apa yang dibimbangkannya adalah air sungai mengakibatkan dia mengalami kegatalan di bahagian kaki, paha serta betis.

“Air sungai ini cukup kotor, kalau hujan tak mengapalah air boleh mengalir, tapi kalau tak hujan air sungai jadi macam bertakung, tambah pula dengan pelepasan sisa kumbahan ini memang kotor betul keadaannya.
“Bila menjala malam, mata tak berapa nampak, ingat bersihlah, rupanya bila air kena badan mula lah kita akan rasa gatal sangat,” katanya.

Katanya, gatal yang dialaminya menyebabkan timbul seolah-olah seperti kudis di bahagian kaki dan pahanya.
“Ambil masa berminggu juga nak sembuh, mula tu gatal, bila gatal sangat ni, mesti garu, lama-lama naik berbekas dan jadi macam kudis,” katanya.

Pengerusi Koperasi Nelayan Sungai Korok Air Itam, Seberang Perai Berhad, Ahmad Nawawi Osman berkata, pelepasan air kumbahan ternakan khinzir mengalir ke sungai di pengkalan Machang seterusnya masuk ke Sungai Kreh yang mana menghubungkan juga Sungai Jarak dan Sungai Kulim serta terus mengalir ke Sungai Perai.

"Apa yang diharapkan pihak berwajib dalam mengatasi perkara ini dengan segera," katanya.

Pelbagai agensi terlibat

Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Seberang Perai Utara, Saiful Rizan Sanusi berkata, pelbagai langkah diambil untuk memastikan pencemaran itu dapat ditangani.
“Untuk makluman di Sungai Kreh ini, pihak kerajaan persekutuan telah mengeluarkan peruntukan RM700,000 untuk membaik pulih sungai ini.

“Kita juga kena bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya veterinar, MPSP, Jabatan Alam Sekitar dan pejabat daerah untuk memastikan kita dapat membantu mengurangkan punca-punca pencemaran,” katanya.
Katanya, buat masa ini, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) menjadikan Sungai Kreh sebagai sungai angkat.

“Kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dilakukan untuk mengurangkan pencemaran ini,” katanya.
Adun Sungai Dua, Muhammad Yusoff Mohamad Noor berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat bagi mengambil tindakan segera.

“Satu tinjauan dilakukan bersama Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar, JPS melawat ke kawasan Sungai Kreh.

“Dalam tinjauan ini, ia lebih kepada melihat masalah pelepasan kumbahan khinzir yang menyebabkan ikan-ikan, ekosistem anak-anak udang terancam sekali gus berkurangan,” katanya.
Katanya, hasil perbincangan, tindakan bersama dengan veterinar serta beberapa agensi untuk turun ke kawasan penternakan.

“Dalam hal ini, kita kena pastikan pelepasan secara sifar. Sifar bermaksud sifar kekotoran, di mana penternak perlu lepaskan air yang telah dibersihkan, kalau lepaskan terus akan menyebabkan kekotoran dan masalah kepada sungai.

“Jadi kita akan buat pemeriksaan bersama semua agensi dan jabatan terlibat, kita nak pastikan enakmen ternakan khinzir dari segi kebersihan ladang-ladang ternakan dikuatkuasakan dan perkara ini perlu juga melibatkan semua jabatan secara bersepadu,” katanya.

Tambahnya, ia bukan sahaja melibatkan hasil sungai malahan dalam soal pengairan ke sawah-sawah juga akan terjejas.

“Air ini juga dijadikan sebagai saliran kepada tanaman padi dan ia secara langsung menjejaskan tanaman padi jika air ini dimasukkan dalam sawah,” katanya.

SINAR ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.