BREAKING NEWS

Saturday, 15 April 2017

Perlumbaan F1 terakhir di Malaysia pada 29 September

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) malam tadi melancarkan kempen terbarunya bagi penganjuran kali terakhir Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia 2017 bertemakan ‘F1NALE’.

Grand Prix F1 Malaysia 2017 akan berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober dan akan menampilkan pelbagai aktiviti dan produk menarik bagi meraikan 19 tahun penganjuran F1 di negara ini, termasuk semua harga tiket baharu yang tidak boleh dilepaskan.

“Daripada bersedih dengan penganjuran kali terakhir perlumbaan antarabangsa berprestij ini, SIC dan Petronas merancang menjadikan acara tahun ini menarik dan bersejarah untuk semua.
“F1 adalah acara yang berjaya dan memainkan peranan penting dalam pembangunan bukan hanya bagi Litar Sepang, tetapi juga kepada industri sukan permotoran dan sektor pelancongan sukan Malaysia.
“Impak perlumbaan itu dirasai dan ia akan terus kekal untuk tahun akan datang kerana menonjolkan Malaysia di peta dunia,” kata Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya dalam kenyataan semalam.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman berkata Petronas turut berkembang baik menerusi kerjasama dengan pelbagai pasukan F1, dan terbaru bersama juara dunia 3 kali, Mercedes AMG Petronas Motorsport.

“Petronas berbesar hati mendapat peluang menganjurkan Grand Prix Petronas Malaysia dan perkongsian yang berjaya dengan SIC. Bagi pihak Petronas, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada SIC dalam mengorak langkah seterusnya untuk mencipta sejarah baru untuk negara tercinta,” katanya.

Grand Prix Malaysia yang kali pertama diadakan pada 1999, adalah sebahagian daripada sejarah SIC kerana Litar Sepang dibina khas untuk Malaysia menganjurkan kejuaraan perdana dunia kenderaan 4 roda itu.
Bersama penaja utama Petronas, SIC bukan sekadar menganjurkan perlumbaan di litar itu.
Mereka juga mengasah bakat pelumba muda seperti Jazeman Jaafar dalam perlumbaan GT dan Nabil Jeffri pada Siri GP2.
Bagi meraikan ‘F1NALE’, peminat berpeluang bertemu pelumba F1 kegemaran mereka menerusi beberapa aktiviti termasuk forum khas kepada peminat di bandar raya ini sebelum perlumbaan pada hujung minggu.
Turut diadakan 3 jerayawara, bermula di KLCC dari 12 hingga 16 April.
Sementara 2 lagi akan diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru, masing-masing pada Ogos dan September.
Bagi menarik lebih ramai peminat menyaksikan perlumbaan itu, SIC akan menjual tiket pada harga murah.
Tiket untuk 3 hari perlumbaan dijual antara RM58.68 (Hillstand K2) dan RM613.68 (Grandstand Utama).
Berita baik untuk rakyat Malaysia ialah harga tiket bagi Grandstand Utama dijual pada harga RM336.18 manakala tiket Grandstand F1 dan Grandstand K1 dijual, masing-masing pada harga RM169.68 dan RM225.18.
Peminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian di laman web SIC atau membeli terus di Pusat Khidmat Pelanggan di SIC atau menghubungi tiket hotline SIC di 03-8778 2222.
 
Copyright © 2014 PenangKini.