BREAKING NEWS

Sunday, 23 April 2017

Pertabalan Agong Upacara Simbolik, Bermakna - Duta Asing

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara esok adalah satu upacara yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga perwakilan asing yang berpangkalan di Malaysia.

Istiadat pertabalan itu yang kaya dengan sejarah dan penuh tradisi, diadakan hanya sekali setiap lima tahun, pastinya akan menjadi tumpuan ketua-ketua perwakilan asing yang dijemput menghadiri istiadat itu.

Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo yang akan menyaksikan istiadat pertabalan itu buat pertama kali, berbangga kerana diberi penghormatan menjadi sebahagian daripada peristiwa unik bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan negara.

"Ketika saya menyerahkan watikah pelantikan saya kepada Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Julai tahun lepas, saya benar-benar terkejut apabila mengetahui hakikat bahawa saya belum lahir lagi ketika baginda mula berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong buat pertama kali pada 1970.

"Saya juga mendapati ia sangat simbolik apabila raja yang paling muda dalam kalangan Raja-Raja Malaysia mengambil alih tampuk pemerintahan daripada yang lebih senior,' katanya kepada Bernama.

Pada usia 47 tahun, Sultan Muhammad V merupakan raja yang paling muda di sembilan negeri.

Ditanya apa yang mengagumkan beliau mengenai Agong baharu, duta itu berkata ia adalah titah Sultan Muhammad V yang dibuat ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 bulan lepas.

Baginya, Sultan Muhammad V 'semestinya simbol kepada Malaysia yang moden, dinamik dan membawa aspirasi wawasan baharu pada abad ke-21'.

Sementara itu, Duta Argentina Manuel Balaguer Salas yang memulakan tugasnya di sini tahun lepas, menyifatkan pertabalan Agong itu sebagai 'istiadat yang bermakna, simbolik dan penting' kepada negara dan semua rakyat Malaysia.

Pernah ke Istana Negara untuk menyerahkan watikahnya kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, beliau teruja kerana buat pertama kalinya berpeluang menyertai istiadat pertabalan Sultan Muhammad V. Bagi Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Dr John Subritzky yang akan turut hadir ke istiadat esok buat pertama kali berkata, ia pasti menjadi menjadi peristiwa yang sangat istimewa bagi Malaysia yang kaya dengan budaya dan sejarah. "Ia akan mencerminkan kepentingan Perlembagaan terhadap kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong. Saya belum lagi bertemu baginda tetapi berharap mempunyai peluang untuk berbuat demikian sebelum tugas saya tamat di Malaysia," katanya.

Duta Jepun ke Malaysia Makio Miyagawa pula berkata hubungan baik antara kerabat diraja Malaysia dan keluarga Maharaja Jepun adalah khazanah hubungan erat buat Malaysia dan Jepun.

"Putera Mahkota Jepun yang baru-baru ini melawat Malaysia menyatakan bahawa baginda kagum dengan kemesraan, kemurahan hati dan sikap bersahaja Seri Paduka Baginda," kata Miyagawa yang amat gembira diberi penghormatan untuk menghadiri istiadat pertabalan penuh tradisi itu.

Bagi pihak kerajaan dan rakyat Jepun, beliau mengucapkan selamat maju jaya untuk kemakmuran, kesihatan yang baik dan kebahagian buat Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia.

Sultan Muhammad V dari Kelantan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada Oktober tahun lepas, menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu adzam Shah. Baginda melafaz sumpah memegang jawatan itu pada 13 Dis lepas. -- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.