BREAKING NEWS

Sunday, 23 April 2017

Pulangkan Ubat Kepada Klinik, Hospital Kerajaan Jika Tidak Digunakan - Dr Hilmi


BAGAN DATUK - Pesakit yang mempunyai ubat daripada klinik atau hospital kerajaan tetapi tidak menggunakannya dinasihat agar mengembalikanya kepada klinik atau hospital bagi mengurangkan pembaziran.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pesakit boleh membawa bersama ubat mereka yang tidak digunakan semasa temu janji untuk membantu doktor menyemak semula preskripsi dan memberi ubat yang lain .

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada pegawai perubatan dan ahli farmasi supaya mereka memberi nasihat yang sewajarnya kepada pesakit mengenai penggunaan ubat-ubatan.

Kementerian Kesihatan memandang serius tindakan sesetengah pesakit di negara ini yang tidak menggunakan ubat-ubatan yang diberi oleh klinik atau hospital kerajaan.

Ia merupakan satu pembaziran kerana ubat-ubatan itu bukan sahaja berkualiti tetapi ia dibeli dengan peruntukan yang besar, katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program Ziarah Kasih Sayang Pelatih Paramedik Masuk Kampung dan "Food Fit Fun Fair" di Sungai Sumun di sini hari ini.

Dr Hilmi berkata tahun lepas, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2.2 bilion untuk membeli ubat-ubatan asli dan generik.

Selain mengelakkan pembaziran, kita tidak mahu ubat-ubatan yang tidak digunakan itu membahayakan nyawa terutama kanak-kanak jika mereka termakan ubat berkenaan, katanya.

Beliau menarik perhatian apabila berkata pihaknya mendapat maklumat terdapat pesakit yang membuang ubat-ubatan di luar pagar klinik atau hospital kerana mereka berjumpa doktor semata-mata untuk mendapatkan sijil cuti sakit sahaja

Mengenai program hari ini, Dr Hilmi berkata 380 pelatih daripada Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ipoh; Hospital Sungai Buloh dan Kolej Pergigian Pulau Pinang terlibat,

Beliau berkata kesemua pelatih berkenaan telah memberi perkhidmatan pemeriksaan percuma kepada kira-kira 1,500 penduduk daripada 37 kampung di sekitar kawasan Bagan Datuk.

"Ini merupakan program ketiga yang dianjurkan selepas Balik Pulau di Pulau Pinang dan Pekan, Pahang dan selepas ini kita akan meneruskan program sebegini di Muar, Johor, katanya. - BERNAMA



 
Copyright © 2014 PenangKini.