BREAKING NEWS

Sunday, 16 April 2017

'Saya Orang Cina, Saya Penganut Agama Taoism... Saya Sokong RUU 355'



KUALA LUMPUR: "Sebagai seorang bukan Islam, kita tidak perlu mencampuri urusan agama lain. Hadi Awang juga tidak pernah mencampuri agama lain seperti Kristian, Taoist, Buddha atau agama Hindu sekalipun," kata bekas Setiauasaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat.Menurut Tuan Tat, usul persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau lebih dikenali sebagai RUU355 adalah usaha Ahli Parlimen Marang itu untuk menjaga agamanya.

"Biar Hadi Awang buat apa yang dirasakannya baik untuk agamanya. Asalkan ianya tidak bertentangan dengan hukum Tuhan Allah yang disembah orang Islam.
"Itu pendapat saya sebagai seorang penganut agama Taoist. Agama saya tidak pernah mengajar saya untuk menentang apa yang dilakukan oleh penganut agama lain," katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha Pakatan Harapan menentang usul persendirian dibawa Abdul Hadi di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kim Swee (DAP) serta Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (PKR) kedua-duanya mendakwa usul RUU355 merupakan cara PAS bersama UMNO menutup isu 1MDB.

Kedua-dua mereka mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga bersekongkol bersama PAS.

Membidas dakwaan oleh Pakatan Harapan, Tuan Tat yang bersama DAP selama 18 tahun menegaskan taktik memburukkan PAS adalah kerana parti berkenaan kini tidak lagi menjadi rakan politiknya selepas pembubaran Pakatan Rakyat pada 2013.

"Dahulu, (Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP) Anthony Loke menyokong pelaksanaan hukum Hudud yang ingin dibawa oleh PAS. Tetapi sekarang mereka menentang RUU355 yang dibawa oleh PAS.

"Kalau menentang, dahulu lagi sudah menentang. Kalau sokong, sudah tentu sekarang juga perlu sokong. Hormati PAS samaada mereka masih berada bersama pakatan pembangkang ataupun tidak," tegasnya.

Bukan setakat isu agama, DAP juga menentang sesiapa sahaja yang tidak lagi menyokong perjuang parti teraju Lim Kit Siang itu sepertimana DAP kini menghentam wakil rakyat Melaka yang meninggalkan parti pada Februari lepas.

"Jangan cakap mengenai agama, lihat sahaja isu keahlian DAP. Terutama isu keahlian DAP Melaka. Selepas ADUN DAP dan Ahli Parlimen DAP dari Melaka keluar dari parti, lihat bagaimana DAP mengehentam mereka," katanya.

Mengulas lanjut mengenai RUU355 dibawa Abdul Hadi, Tuan Tat menjelaskan bahawa orang Islam sudah tentu menentang usul berkenaan sekiranya ianya bertentangan daripada ajaran Islam namun sokongan kuat masyarakat Muslim terhadap usul berkenaan menunjukkan sebaliknya.

"Jangan lupa, Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama. Setiap agama mempunyai hak untuk mengamalkan agama masing-masing.
"Saya bukan satu-satunya orang Cina yang katakan sebegini, ramai lagi orang Cina diluar sana yang menyokong usul Hadi. Kerana mereka tahu apa yang dilakukan oleh PAS adalah untuk orang Islam semata-mata. Tiada kaitan dengan orang bukan Islam," katanya lagi.

- Malaysian Digest
 
Copyright © 2014 PenangKini.