BREAKING NEWS

Sunday, 30 April 2017

Segerakan siasatan – PM


KUALA LUMPUR 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan siasatan kes berhubung pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gadaffie yang dipercayai dipukul oleh pembantu warden sehingga menyebabkan kematian, dipercepatkan.

Sambil melahirkan rasa sedih berikutan kematian pelajar terbabit yang sebelum ini kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman, Perdana Menteri berkata, punca kematian akan dapat diketahui menerusi siasatan berkenaan sekali gus tindakan undang-undang boleh diambil jika ada kesalahan.

“Innalillah. Sedih menerima berita pemergian adik Mohd. Thaqif Amin di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Takziah buat keluarga arwah dan Insya-Allah, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) akan mewakili saya di majlis pengebumian arwah.


“Saya mahu siasatan kes ini dipercepatkan agar kita tahu punca kematian dan diambil tindakan undang-undang jika ada kesalahan,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Mohd. Thaqif disahkan mening­gal dunia oleh bapanya, Mohd. Ghaddafi Mat Karim pada pukul 2.05 petang, tadi.

Akhbar sebelum ini melapor­kan kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif Amin yang bertukar lebam terpaksa dipotong hingga paras betis setelah dijang­kiti kuman dan darah beku. Doktor di hospital itu sepatutnya melakukan pembedahan tangan kanannya pula pada pagi ini, tetapi terpaksa ditangguh ekoran keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Ibu pelajar terbabit, Felda Wani Ahmad, 40, mendakwa anak ketiga daripada lima beradik itu beberapa dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden pusat madrasah tahfiz berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.

“Menerima berita sedih pemergian adik Mohamad Thaqif Amin ke rahmatullah. Takziah kepada keluarga, semoga ditempatkan bersama para syuhada. Al-Fatihah,” katanya.










 
Copyright © 2014 PenangKini.