BREAKING NEWS

Monday, 10 April 2017

Sejarah Kampung Sungai Nyiur

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah kewujudan Kampung Sungai Nyiur yang terletak di Bagan, di sini.

Menyingkap sejarah di kawasan ini, generasi kelima daripada keturunan Zainal Abidin Al-Fathani yang merupakan pengasas kepada Kampung Sungai Nyiur ini mempunyai kisah sejarah awal kampung itu.

Mohd Desa Abu Bakar, 52, berkata, Zainal Abidin Al-Fathani atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Haji Janai adalah seorang pendakwah Islam dari Setoi atau kini dikenali sebagai Satun.


“Allahyarham datang ke Seberang Perai dengan keluarganya sekitar 1790, dipercayai melarikan diri dari penganiayaan pemerintah Thai pada masa itu.


“Haji Janai dilahirkan sekitar 1730 di Pattani dan pada 1790 datang ke sini, membuka kampung di mana dia menetap bersama isteri dan keluarganya”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke kubur milik Zainal Abidin Al-Fathani di Kampung Sungai Nyiur ini, semalam.

Menurutnya, semasa pemerintahan Inggeris di Seberang Prai pada tahun 1800, Francis Light telah memberikan tanah 2.4 hektar untuk Haji Janai bagi mengusahakan ladang kelapa dengan cara yang lebih sistematik.

“Allahyarham dipercayai menguruskan kawasan ini selama hampir 12 tahun sebelum ia diambil alih oleh seorang Inggeris yang dikenali sebagai Tuan Brown.

“Kalau nak diikutkan banyak sumbangan Haji Janai kepada masyarakat setempat di sini, beliau bukan sahaja merantau malahan turut sama mengajar agama Islam kepada penduduk di sini,” katanya.

Tambahnya, dalam masa sama Haji Janai telah meningkatkan kualiti hidup mereka dengan mengajar mereka bagaimana untuk menjalankan perniagaan.

“Allahyarham meninggal dunia sekitar tahun 1850 dan dikebumikan di sini. Beliau meninggalkan tiga cahaya mata dan pengajaran Islam diteruskan oleh anak-anaknya.

“Saya merupakan generasi kelima dan ada lagi susur galur keturunan daripada Haji Janai dan masing-masing kini ada yang tinggal di sini dan ada yang sudah berpindah ke tempat yang lain,” katanya.

Mohd Desa berkata, menjadi keinginannya supaya kubur Allahyarham dibaik pulih dan diletakkan papan tanda berhampiran kawasan kampung ini secara langsung memaparkan kisah mengenai sejarah kampung ini.

“Dengan adanya papan tanda ini sekali gus ia sebagai maklumat mengenai antara sejarah awal di Seberang Prai ini.

“Dan secara langsung ia akan mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat Pulau Pinang mengenai sejarah tempat itu,” katanya. SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.