BREAKING NEWS

Saturday, 15 April 2017

Sekolah pelbagai aliran gagal pupuk perpaduan, perlu dinilai semula - Zahid Hamidi


Sistem pendidikan negara pada masa ini gagal memupuk perpaduan negara dan harus dinilai semula, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, aliran sekolah berbeza menyebabkan perpisahan dan tiadanya titik pertemuan antara masyarakat pelbagai kaum.

“Mungkin kita sukar mengawal di peringkat pra-sekolah – ada tadika Perpaduan (di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional), Kemas (di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat), swasta, dan Pasti (di bawah PAS).

“Apabila masuk sekolah rendah ada yang mengikut sistem kebangsaan atau bahasa ibunda.
“Tetapi tolonglah, apabila ke peringkat sekolah menengah, gunakan aliran yang sama.

“Mana ada negara di dunia ini yang ada 3 jenis aliran, hanya di Malaysia. Akhirnya tiada titik pertemuan,” katanya dalam syarahan “Budaya Ilmu Kekuatan Negara” di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), hari ini.

Kerajaan sebelum ini mewujudkan Rancangan Integrasi Murid Perpaduan (RIMUP) yang bertujuan memupuk perpaduan pelajar dengan program yang menggabungkan beberapa sekolah termasuk daripada aliran berbeza.

Beliau berkata sistem pendidikan harus dinilai semula dengan usaha memupuk perpaduan sebagai tujuan utama.

“Kita hormati semua bahasa ibunda tetapi mesti ada persamaan untuk wujudkan perpaduan. Kekalkan ilmu yang ada dalam bahasa masing-masing sebagai 1 subjek, tetapi bukan sebagai pengantar utama.
“Pelajar Maahad Tahfiz pernah berjumpa dengan pelajar sekolah Cina? Tidak pernah. Maka bila masa untuk ada komunikasi silang-budaya? Apabila tiada titik pertemuan, maka tidak wujud perpaduan negara,” katanya.

Katanya, sistem pendidikan yang tidak mengutamakan perpaduan negara itu akhirnya mewujudkan keadaan caca-merba dalam masyarakat. FMT

 
Copyright © 2014 PenangKini.