BREAKING NEWS

Friday, 21 April 2017

Seperti Perancis lindungi Khomeini, hak Malaysia lindungi Zakir, kata Perkasa



 Pertubuhan hak Melayu Perkasa berkata keputusan Putrajaya memberi status penduduk tetap (PR) kepada Dr Zakir Naik adalah wajar kerana kerajaan Malaysia berhak melindungi pendakwah kontroversi yang dikehendaki pihak berkuasa India itu.

“Kerajaan sedia ada di Malaysia mempunyai hak untuk mengambil kira semuanya dalam pertimbangan mereka,” kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan pengesahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu yang Zakir diberikan status PR di Malaysia kira-kira 5 tahun lalu.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keputusan memberi status PR kepada Zakir sama seperti dasar pemberian suaka atau perlindungan kepada pelarian dan tahanan politik.
Ibrahim mengimbas kembali keputusan kerajaan Perancis memberi suaka politik kepada pengasas Revolusi Islam Iran, Ayatullah Khomeini, pada 1978 yang melarikan diri daripada penindasan rejim Shah Iran.

Khomeini kembali ke Iran pada 1979 untuk memimpin revolusi menggulingkan Shah, menggantikan monarki Iran dengan sebuah republik Islam.
Ibrahim berkata, pemberian PR kepada Zakir bukannya isu besar.
“Di sini kita tak tahu jika tuduhan itu betul atau tidak,” katanya merujuk siasatan pihak berkuasa India terhadap dakwaan Zakir terbabit dalam aktiviti pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.

“Pemberian PR itu tidak sebesar pemberian suaka politik kepada Khomeini.”
Beliau berkata, keputusan sama pernah dibuat Malaysia dahulu.

“Malaysia memberi perlindungan kepada pemimpin Parti Rakyat Brunei. Australia turut memberi perlindungan kepada warganegara dan personaliti tertentu,” katanya tanpa menamakan individu dimaksudkannya.

Pada 2014, bekas anggota unit tindakan khas, Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006, melarikan diri dan memohon visa perlindungan di Australia.

Beliau masih ditahan di sebuah pusat imigresen di sana dan undang-undang Australia melarang individu diekstradisi ke negara lain untuk menjalani hukuman mati.
Pihak berkuasa India mengeluarkan waran tangkap tanpa ikat jamin terhadap Zakir pada 13 April lalu kerana mengingkari saman Direktorat Penguatkuasaan (ED), yang menyiasat Zakir atas pertuduhan melakukan pengubahan wang.

Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA) India juga dilaporkan memohon notis merah Interpol bagi membawa Zakir pulang ke India untuk disoal siasat.
November lalu, India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam yang diasaskan Zakir selama 5 tahun kerana didakwa menghasut umat Islam dan menggalakkan permusuhan antara kaum berbeza.
Sabtu lalu, Zakir dalam sebuah program anjuran Perkasa mendakwa beliau akan diseksa jika pulang ke India, sebaliknya beliau sedia disoal siasat pihak berkuasa negara itu menerusi Skype dan kaedah tele-sidang.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2013 itu kerap mengadakan siri jelajah ceramahnya di Malaysia, dan dilaporkan diharamkan ke United Kingdom dan Kanada.
Sementara itu Ibrahim membidas tindakan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengkritik Zakir kerana beliau merupakan anggota Kabinet yang memutuskan untuk memberi status PR kepada Zakir.

“Jika soalan itu dibangkitkan setiausaha agung MIC yang tidak berada dalam Kabinet, maka ia adalah berbeza. Tetapi, dia ialah menteri Kabinet. Dia terikat dengan keputusan kolektif. Jika dia tidak bersetuju, maka dia perlu meletak jawatan.”

Rabu lalu, Dr Subramaniam berkata, Zakir tiada tempat di Malaysia.
“Adakah dia akan menyumbang kepada kemajuan Islam di negara ini? Jawapannya tidak,” katanya pada wacana bersama anak muda India Malaysia, kelmarin. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.