BREAKING NEWS

Friday, 7 April 2017

Shabudin kaji saman media


TASEK GELUGOR 7 April - Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang kepada media yang memutar belitkan perbahasannya dalam persidangan Parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa akhbar dan portal didakwa memetik secara salah isi kandungan perbahasan itu sehingga memberikan reputasi buruk kepadanya sehingga beliau dicemuh dan diugut di dalam media sosial.

“Beberapa media dilihat sengaja memutar belit fakta serta tidak memahami dengan jelas apa yang saya cuba sampaikan pada perbahasan itu menyebabkan apa yang saya katakan disalah erti.

“Saya juga memandang serius dengan tindakan beberapa individu yang menimbulkan provokasi sehingga mengancam nyawa saya dan ahli keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan rumah Projek Mesra Rakyat di Pokok Machang di sini hari ini.

Beliau mengulas berkaitan isu yang timbul selepas perbahasan di Dewan Rakyat tidak salah untuk gadis berkahwin dengan perogolnya dan mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap.-UO


 
Copyright © 2014 PenangKini.