BREAKING NEWS

Monday, 10 April 2017

Solat hajat doakan kesejahteraan Sultan perkara biasa

"Solat hajat yang diadakan untuk mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah bukan merupakan perkara baharu sebaliknya merupakan amalan biasa yang dilakukan sejak dahulu lagi," kata Imam Masjid Zahir, Mohd Shafie Ismail.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat tafsiransendiri kononnya solat hajat itu dilakukan kerana baginda sedang gering.

"Sejak dulu lagi, solat hajat selalu kita buat untuk mendoakan kesejahteraan Sultan Abdul Halim agar bafinda dapat terus menjalankan tugas sebagai pemerintah negeri dan hari ini kira-kira 3,000 orang yang hadir," katanya kepada Bernama.


Isu solat hajat itu menjadi tular semalam bersama-sama surat pemakluman yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah yang meminta semua pegawai daerah agar memaklumkan kepada imam di daerah masing-masing supaya mengadakan solat hajat selepas selesai solat Jumaat hari ini.


Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah menafikan khabar angin tersebut dan berkata, mesej itu disebarkan orang tidak bertanggungjawab yang suka menambah cerita untuk sengaja ditularkan.

Penghulu Masjid Zahir, Mohd Jasni Abdullah pula berkata umum mengetahui bahawa Sultan Kedah merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan disayangi rakyat jelata.

"Kita sayang Sultan Abdul Halim dan selalu membuat solat hajat dan ini bukan kali pertama kita buat supaya ALLAH SWT mengurniakan kesihatan yang berpanjangan kepada Sultan Kedah," katanya. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.