BREAKING NEWS

Tuesday, 25 April 2017

Surcaj Air Di Pulau Pinang Semakin Menggila.




Saya pernah menjadi salah seorang daripada Lembaga Pengarah PBA(Penang Bekalan Air) semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dahulu. Namun semasa saya masih dalam jawatan tiadalah menggila sebegini sekali surcaj air dinaikkan kepqda rakyat Pulau Pinang sehingga menambah berat tekanan hidup rakyat di sana.

Kini saban tahun kita melihat peningkatan surcaj air di Pulau Pinang semakin dahsyat sehingga ke tahap yang semakin membimbangkan dan meresahkan rakyat terbanyak.

Cuba bayangkan kalau kerajaan persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri di bawah BN naikkan tarif atau caj air atau apa-apa dengan alasan untuk kurangkan penggunaan dan pembaziran.

Saya berani katakan pasti ahli politik pembangkang seperti Rafizi Ramli, Tony Pua, CM Lim Guan Eng yang akan melatah bagaikan cacing kepanasan kononnya mahu membela nasib rakyat dengan mengutuk dan mencerca nista kerajaan persekutuan.

Saya juga yakin page Suara Rakyat akan keluarkan grafik-grafik jelik menghina YAB PM DS Najib Razak, dan sebagainya.

Yang lebih membingungkan, parti yang sentiasa menghentam kerajaan persekutuan, UMNO, BN kerana kenaikan harga barang, kenaikan harga petrol dan diesel dan segala kenaikan kini menaikkan tarif air di negeri di bawah pentadbiran mereka semahunya.

Parti yang kononnya konsisten menabur janji menghapuskan GST, mengembalikan subsidi petrol dan diesel, mengawal harga barangan tanpa rasa bersalah mengumumkan bahawa tarif/caj air dinaikkan untuk mengurangkan pembaziran. Nauzubillahi min zalik. Jelik sungguh drama politik murahan mereka ini.

Siapa dikalangan kita yang masih ingat apabila harga gula dinaikkan dan alasan untuk kesihatan/mengurangkan kencing manis dimanipulasi sebegitu dahsyat sehingga huru hara pembangkang menghentam kerajaan persekutuan?

Setiap tahun PBA Holdings Berhad yang dikuasai oleh kerajaan negeri dengan pegangan saham majoriti 55%, untung puluhan juta. PBA Holdings Bhd adalah pemegang saham tunggal Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang bertanggungjawab membekalkan air di Pulau Pinang.

Hasil PBA Holdings Berhad bagi tahun 2011 - 2015:
2011: RM236 juta
2012: RM244 juta
2013: RM251 juta
2014: RM261 juta
2015: RM300 juta

Keuntungan bersih PBA Holdings pula:
2011: RM45 juta
2012: RM29 juta
2013: RM27 juta
2014: RM24 juta
2015: RM38 juta

Hasil dan untung melebihi ratusan juta dan puluhan juta setiap tahun tetapi masih mahu naikkan tarif dan surcaj kepada pengguna?

Sebagai syarikat yang dikuasai oleh kerajaan Pulau Pinang sudah tentu jawatan di dalam lembaga pengarahnya diisi oleh ahli-ahli politik parti mereka. Pengerusi PBA Holdings dan PBAPP adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu Lim Guan Eng sendiri.

Pasti akan ada yang akan berkata, kenaikan tarif/caj ini hanya akan memberi kesan kepada pengguna domestik yang menggunakan lebih 35,000 liter ke atas sebulan. Surcaj yang dikenakan ini memberi kesan kepada 25% daripada 504,400 pengguna air di Pulau Pinang iaitu 126,100 pengguna.

Apabila TNB menaikkan tarif yang hanya memberi kesan kepada 30% pengguna yang menggunakan lebih 300 kWj setiap bulan, pembangkang kata itu alasan bodoh.

Hipokrasi DAP dan parti pembangkang lain terserlah. Kali ini mereka tidak pula bising berkaitan kenaikan kos sara hidup rakyat, rakyat terbeban dan sebagainya?

Rujukan:
1. Penang to raise water conservation surcharge to lower domestic water consumption - The Sun Daily: http://www.thesundaily.my/news/2017/04/23/penang-raise-water-conservation-surcharge-lower-domestic-water-consumption.

2. Laporan Tahunan PBA Holdings Berhad 2015: http://www.pbahb.com.my/pdf/annual-report/AR2015.pdf.


Oleh:
Datuk Dr. Mohammad Fairus Bin Hj. Khairuddin Al-Hassani.
Mantan Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.