BREAKING NEWS

Wednesday, 26 April 2017

Tangisan bayi di depan pintu rumah

Bukit Mertajam – Seorang bayi lelaki dipercayai berusia kira-kira seminggu ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Mengkuang Semarak, Kubang Semang, di sini pagi tadi.

Bayi berkenaan yang dibalut dengan kain batik ditemui seorang wanita berusia 76 tahun ketika membuka pintu rumahnya selepas terdengar suara tangisan kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

 Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudian ke lokasi bagi melakukan siasatan.

 “Kita menganggarkan bayi itu berusia kira-kira seminggu berdasarkan keadaan tali pusatnya yang sudah kering.

 “Bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi membolehkan polis mendapat laporan perubatan sebelum dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BH Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.