BREAKING NEWS

Sunday, 9 April 2017

Terima hakikat dunia Islam jauh ketinggalan, kata Khairy

Menerima hakikat bahawa dunia Islam jauh ketinggalan dalam banyak bidang merupakan langkah pertama ke arah menyelaras semula kedudukan Islam sebagai kuasa untuk kebaikan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata masyarakat Islam terutama golongan muda perlu menggunakan kejayaan zaman kegemilangan Islam sebagai pengajaran untuk mereka berusaha kuat membina tamadun peneraju yang baharu.

Dengan suku daripada populasi Islam adalah golongan muda, mereka harus berada di barisan hadapan dalam mengembalikan tamadun Islam kepada kegemilangan lampau.
“Kita perlu terima bahawa kita jauh ketinggalan dalam ekonomi, teknologi, sains, kemanusiaan dan banyak lagi bidang.

“Jadi kita perlu memulakan kembara untuk menunjukkan bahawa Islam adalah kuasa kebaikan, dengan memperkasa golongan muda kita,” kata beliau.

Berucap pada majlis bagi meraikan Putrajaya sebagai “Youth Capital” Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini malam tadi, Khairy berkata nilai baik Islam harus dikongsikan dengan setiap orang.
Dalam sidang media kemudian, Khairy berkata pemilihan Putrajaya sebagai lokasi program OIC “Youth Capital” merupakan satu pengiktirafan oleh pertubuhan itu terhadap sumbangan dan peranan Malaysia terhadap komuniti dan dunia Islam.

Beliau berkata kelantangan dan komitmen Malaysia dalam memperjuang isu umat Islam seperti nasib rakyat Palestin dan Rohingya memberi pelbagai manfaat kepada dunia Islam, sekali gus meletakkan negara ini selangkah di hadapan dalam hal berkaitan Islam.

OIC Youth Capital merupakan satu program antarabangsa yang merangkumi pengisian membentuk jati diri belia Islam dan memperkukuh hubungan persaudaraan sesama mereka, katanya.
Selain Putrajaya, OIC turut memilih bandar Shiraz, Iran dan Fes di Maghribi sebagai lokasi program berkenaan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.