BREAKING NEWS

Saturday, 8 April 2017

Tolak pemimpin, parti tentang Akta 355 pada PRU14 - Aswaja


Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain menyeru umat Islam di negara ini agar tidak menyokong dan mengundi parti serta pemimpin yang menolak rang undang-undang (RUU) pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Penolakan terhadap mereka boleh ditunjukkan semasa pilihan raya umum ke-16 (PRU14) nanti, kata beliau.

"DAP adalah sebuah parti yang jelas menentang penambaikan undang-undang Islam melalui RUU355.

"Selain itu, terdapat juga beberapa pemimpin bukan Islam dari PKR dan AMANAH yang bersekongkol dengan DAP dalam usaha menentang agenda Islam pemerkasaan dan kepentingan umat Islam di negara ini.

"Pemimpin bukan Islam yang menentang Akta 355 boleh disifatkan sebagai kafir harbi dan haram bagi umat Islam menyokong mereka," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam Ketua Pemuda Umno Pahang, Shahar Abdullah mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR dan AMANAH untuk menegur tindakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang tidak putus-putus melakukan provokasi terhadap agama Islam, terbaru melalui Akta 355.

"Jika benar DAP bukan parti yang menguasai pembangkang, saya cabar BERSATU, PKR dan AMANAH menegur tindakan Kit Siang yang tidak putus-putus melakukan provokasi terhadap agama Islam dengan yang terbaru melalui Akta 355," jelas beliau.

Terdahulu, Pakatan Harapan (HARAPAN) melahirkan kekesalannya terhadap tindakan speaker Dewan Rakyat yang menangguhkan sidang lebih awal dan tidak memberi laluan terhadap usul pindaan Akta 355 dibahas.

Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang pada jam 4 petang, sedangkan waktu lazim mesyuarat sehingga 5.30 petang, amat mengejutkan.

Mengulas lanjut, Zamihan berkata, umat Islam perlu berwaspada dan tidak sesekali menyokong mereka yang jelas menentang Islam.

"Begitu juga dengan pemimpin yang beragama Islam, tetapi tidak menyokong agenda Islam dalam memartabatkan undang-undang Islam, malah menentang pelaksanaannya maka haram bagi umat Islam menyokong, memberi undi dan berkompromi dengan pemimpin dan parti ini sebegini," jelasnya.

Bagi Aswaja, tambah Zamihan, pihaknya tidak mempunyai kepentingan politik mahupun peribadi, sebaliknya seruan ini ditegaskan demi menjaga kepentingan akidah dan syariat Islam.

"Oleh itu, Aswaja menyeru kepada semua wakil rakyat beragama Islam tanpa mengira fahaman politik, marilah kita bersama-sama menyokong Akta 355 kerana ia sebahagian daripada maslahah umat Islam dan merupakan syiar Islam yang utama.

"Kepada bukan Islam, usah menganggu urusan agama kami.

"Hormatilah kedudukan Islam di negara ini tanpa menimbulkan kebencian umat Islam dan hormatilah Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Persekutuan di negara ini," tambahnya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.