BREAKING NEWS

Thursday, 13 April 2017

Tuduhan Rafizi Buka Lebih Ruang PAS Tamatkan Kerjasama


13 APRIL: Jika sah PAS menamatkan kerjasama politik dengan PKR, parti itu patut menyalahkan Rafizi Ramli kerana menuduh parti Islam itu menerima dana 1MDB.

Tuduhan demi tuduhan oleh Ahli Parlimen PKR Pandan itu dilihat banyak memberi kesan kepada hubungan antara kedua-dua parti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan Rafizi hanya akan menyebabkan hubungan kedua-dua parti menjadi semakin parah dan tidak mustahil bakal berakhir.

Menurutnya, tuduhan demi tuduhan yang dilakukan Rafizi termasuk mendakwa kepimpinan parti itu menerima dana 1MDB adalah tidak berasas sama sekali.

“Bagi kita tuduhan Rafizi itu tidak perlu diberikan per­hatian serius memandangkan rekod beliau selama ini membabitkan pelbagai pendeda­han semuanya ti­dak betul termasuk membabitkan isu cincin isteri Perdana Menteri,” katanya

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini mendakwa mempunyai bukti dan maklumat mengenai terdapat individu yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB.

Mohd. Amar berkata, Rafizi sepatutnya memberi tumpuan mengenai pendedahan penulis blog Raja Petra Kamarudin sebelum ini bahawa PKR menerima dana daripada individu tertentu.

Katanya, PKR se­patutnya me­ngambil tindakan saman terhadap Raja Petra sekira­nya pendedahan itu tidak benar dan bukan cuba mengalih perhatian de­ngan menyerang PAS.

“Selama ini PKR menekan PAS dalam isu dana RM90 juta, minta kita saman Sarawak Report dan sebagainya. Bagi saya pendedahan Raja Petra itu lebih serius, mengapa PKR tidak saman.

“Bagi saya sekiranya PKR ha­nya menafikan perkara tersebut, apa yang didedahkan Raja Petra itu adalah benar,” katanya.

Sehingga Khamis Rafizi yang berjanji mendedahkan bukti dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan dana 1MDB masih belum berbuat demikian.

Muktamar PAS hujung bulan ini di Alor Setar dijangka memuktamadkan keputusan sama ada meneruskan kerjasama dengan PKR atau tidak.-Bnbbc
 
Copyright © 2014 PenangKini.