BREAKING NEWS

Thursday, 27 April 2017

Tutup rumah anak yatim yang tidak berdaftar


GEORGE TOWN: Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas seperti menghentikan segera operasi asrama anak yatim atau institusi tahfiz yang tidak berdaftar dengan jabatan atau kementerian berkaitan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata institusi yang tidak berdaftar mendedahkan anak yatim atau pelajar tahfiz turut kepada eksploitasi seperti dipaksa memungut derma atau didera kerana mereka tidak dipantau pihak berkaitan.

“Jangan sudah terhantuk baru terngadah seperti kejadian yang menimpa seorang pelajar tahfiz di Johor sehingga menyebabkan kematiannya. Difahamkan sekolah tahfiz itu tidak berdaftar dengan kementerian.”

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, meninggal dunia semalam selepas didakwa dipukul pembantu warden asrama madrasah tahfizanya.

“Sepatutnya sekolah tahfiz perlu daftar dengan Kementerian Pendidikan atau jabatan agama Islam, manakala asrama anak yatim perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), barulah pihak terbabit boleh memantau operasi mereka,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Yussof berkata pengendali asrama anak yatim dan tahfiz yang berdaftar biasanya diberikan kursus dan latihan bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan berkaitan operasi institusi berkenaan sekali gus mengurangkan risiko berlaku insiden tidak diingini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan sebagai berkata sekolah tahfiz terbabit tidak berdaftar di bawah kementerian.

 
Copyright © 2014 PenangKini.