BREAKING NEWS

Sunday, 30 April 2017

UMNO mampu satu padukan Melayu

"Insya-Allah UMNO diizinkan Allah untuk menyelamatkan Melayu dan Islam di negara ini."

Itu kata-kata yang terbit dari mulut bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Allahyarham Tun Saadon Zubir ketika berbual dengan Tan Sri Hussein Ahmad, 83, dalam pertemuan tidak sengaja mereka di Bangunan UMNO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1961.

Meskipun sudah 56 tahun berlalu, nasihat berkenaan sentiasa dipegang oleh Hussein dan berharap lebih tiga juta ahli UMNO pada hari ini dapat menghayati kata-kata tersebut untuk terus setia dalam perjuangan parti keramat orang Melayu itu.


"Saya bersyukur UMNO daripada 48 orang kini ahlinya sudah mencecah lebih tiga juta orang dan percayalah hanya UMNO yang mampu menyatupadukan orang Melayu dan ini terbukti sejak sekian lama.

"Hayatilah perjuangan UMNO, jangan kita berada dalam parti hanya untuk kepentingan diri semata-mata," kata Hussein yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO ketika ditemui Mingguan Malaysia di kediamannya di Lemal, di sini baru-baru ini.

Tambah Hussein, sejak penubuhan UMNO pada 1946, parti itu terus berdiri teguh meskipun kepemimpinannya silih berganti.

Katanya, UMNO juga tidak pernah mengalami perpecahan disebabkan dasar atau perlembagaan parti itu sendiri sebaliknya perpecahan yang berlaku di dalam UMNO semuanya disebabkan kepentingan politik individu tertentu.

"Namun, saya yakin mereka yang meninggalkan parti akan kembali ke pangkuan UMNO kerana sedar hanya UMNO satu-satunya wadah yang menjadi benteng orang Melayu dan Islam.

"Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan mati dalam perjuangan dengan UMNO. Apabila Ku Li keluar dan menubuhkan parti Semangat 46, saya yakin beliau akan kembali dan akhirnya Ku Li pulang semula ke pangkuan UMNO. Begitu juga pemimpin-pemimpin lain," katanya.

Sempena sambutan ulang tahun ke-71 UMNO pada 11 Mei ini, beliau turut menasihatkan seluruh ahli supaya menerapkan ideologi bahawa UMNO adalah parti berteraskan nasionalisme Melayu.

Dalam masa sama katanya, UMNO juga perlu mempunyai sikap keterbukaan dan tolak ansur dengan kaum lain di negara ini.

"Itulah paksi yang menyakinkan bukan sahaja ahli UMNO tetapi seluruh rakyat negara ini untuk terus bersama parti tersebut," katanya yang menjawat jawatan Ketua Penerangan UMNO dari 1982 sehingga 1995.UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.